Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tuntutan Sulu: Peguam ‘waris’ pertikai versi Malaysia

Peguam yang mewakili ‘waris’ Sultan Sulu terakhir Sultan Jamalul Kiram II menafikan kenyataan Malaysia bahawa Mahkamah Perlembagaan Sepanyol telah menolak rayuan mereka terhadap keputusan membatalkan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara.

Sebaliknya, peguam dari firma guaman 4-5 Gray’s Inn Square yang berpangkalan di London menegaskan bahawa mereka akan berusaha untuk membetulkan perintah Mahkamah di Luxembourg yang akan membolehkan pihak yang menuntut untuk merampas aset Malaysia di luar negara.

Azalina Othman Said

Peguam pihak yang menuntut Sulu berkata demikian ketika mengulas tiga kenyataan media Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Malaysia Azalina Othman Said berhubung pertikaian undang-undang antarabangsa antara Malaysia dan ‘waris’ itu berhubung bayaran pajakan yang tidak dijelaskan untuk Sabah.

Pada 26 Januari lalu, Azalina memaklumkan bahawa Mahkamah di Luxembourg bersetuju untuk menarik balik perintah sekatan (saisie arrêt) yang dimohon oleh individu yang mendakwa sebagai 'waris' kumpulan Sulu  yang dipercayai merujuk kepada cubaan untuk merampas dua anak syarikat Petronas yang disita pihak menuntut tahun lepas.

Empat hari kemudian, dia berkata Mahkamah di Luxembourg membuat perintah itu kerana pihak yang menuntut kononnya secara sukarela tidak mendedahkan alamat sebenar mereka.

Kemudian pada 2 Februari, Azalina berkata Mahkamah Perlembagaan di Sepanyol menolak rayuan ‘waris’ Sulu berhubung pelantikan Stampa.

Sebagai reaksi kepada kenyataan Malaysia berhubung keputusan Mahkamah di Luxembourg, peguam ‘waris’ Sulu, Paul Cohen mendakwa bahawa keputusan berkenaan dibuat disebabkan mahkamah menganggap waris tersebut sepatutnya memfailkan alamat rumah mereka dan bukannya alamat peguam mereka untuk tujuan penyampaian kertas mahkamah .

Dalam satu siri e-mel kepada Malaysiakini, Cohen menegaskan hakim berkenaan menjelaskan bahawa dia tidak membuat penghakiman berdasarkan merit kes yang sedang berlangsung di Luxembourg.

“Dan, untuk mengelakkan keraguan, dia tidak membuat keputusan mengenai tuntutan, arbitrasi, anugerah AS$14.9 bilion (kepada ‘waris’ Sulu) atau keputusan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan ke Luxembourg.

“Tetapi dia prihatin kerana kertas kerja itu sepatutnya mempunyai alamat. Kami akan membetulkan ini. Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan,” dakwa Cohen.

[Baca berita penuh]