Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gempa: Angka kematian di Syria, Turkiye hampir 10,000

Sekurang-kurangnya 2,530 orang terbunuh dan lebih 4,500 lagi cedera di Syria dalam siri gempa bumi kuat yang berpusat di selatan Turkiye pada Isnin, berdasarkan data terkini yang dikumpul oleh Pertahanan Awam Syria, Rangkaian Hak Asasi Manusia dan sumber kesihatan tempatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Syria sekurang-kurangnya 1,250 orang terbunuh dan 2,045 yang lain cedera di wilayah Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus, lapor Agensi Anadolu.

Sementara itu, di kawasan yang dikawal oleh pembangkang di barat laut Syria, sekurang-kurangnya 1,280 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 2,600 yang lain cedera.

Sebahagian besar bangunan di kawasan yang dikuasai pembangkang di utara Syria juga musnah atau rosak.

Di Turkiye, sekurang-kurangnya 7,108 orang terbunuh dan 40,910 yang lain cedera setakat ini.

Lebih 96,670 anggota pasukan mencari dan menyelamat sedang menjalankan operasi di lapangan, menurut kenyataan Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Selain pasukan penyelamat, selimut, khemah, makanan, dan pasukan sokongan psikologi turut dihantar ke kawasan yang terjejas.

Sebanyak 70,818 khemah didirikan untuk menempatkan mangsa yang terselamat. Sebanyak 5,434 kenderaan termasuk jengkaut, traktor dan jentolak turut dihantar ke kawasan bencana.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah - Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa untuk memastikan misi mencari dan menyelamat berjalan lancar.

"Kami berhadapan satu daripada bencana terbesar, bukan sahaja dalam sejarah Turkiye bahkan di dunia," kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Selasa.

- Bernama