Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Menunggu keajaiban di parlimen sempena kelahiran Tunku

ULASAN | Hari ini adalah ulang tahun kelahiran ke-120 Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

Parlimen patut menunjukkan penghormatan sempena ulang tahun hari kelahiran yang ke-120 Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, pada hari ini dengan memenuhi aspirasinya untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu.”

Selepas enam dekad usaha membina negara, kita telah terpesong dari prinsip-prinsip asas yang diterapkan oleh tokoh kemerdekaan negara dan menyumbangkan kepada kegelapan di dunia dan bukannya menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, negara kita mendapat peluang untuk menetapkan semula dan kembali kepada prinsip-prinsip asal kita untuk memenuhi aspirasi Tunku ini.

Veteran DAP Lim Kit Siang.

Namun, masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk merealisasikan cita-cita ini.

Pertama, sidang parlimen selama tujuh minggu yang akan bermula pada minggu hadapan, perlu dijadikan sidang yang paling tidak dapat dilupakan dalam sejarah negara.

Ini dengan memulakan usaha-usaha reformasi institusi bagi mencapai matlamat berganda untuk menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia dan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Tunku pernah mengatakan yang beliau adalah perdana menteri yang paling gembira di dunia.

Tidak ada perdana menteri selepasnya yang dapat mengatakan mereka adalah seorang perdana menteri yang gembira.

Malah, kita telah sampai ke satu tahap dalam sejarah Malaysia, di mana kita mempunyai sejumlah terbesar rakyat Malaysia yang tidak gembira.

Ia bukan sahaja telah mencetuskan diaspora Malaysia ke seluruh dunia, tetapi hampir mencetuskan diaspora kedua Malaysia ke seluruh dunia.

Kita kini ada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 dan kegembiraan rakyat Malaysia patut menjadi keutamaan tertinggi kerajaan, bukannya kegembiraan kroni dan kelas politik, sehingga kita menerima laporan terburuk dalam Indeks Persepsi Rasuah 2022 terbitan Transparency International.

Sidang parlimen selama tujuh minggu yang bermula pada hari Isnin akan menjadi sidang yang paling tidak dapat dilupakan dalam sejarah sekiranya pihak kerajaan dan pembangkang dapat mencapai persetujuan untuk bekerjasama mengenai dua matlamat.

Pertama, menyatukan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan dan kedua mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Bolehkah Parlimen ke-15 mencipta sejarah dengan “keajaiban” ini sempena ulang tahun ke-120 kelahiran Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman?


LIM KIT SIANG ialah veteran DAP.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.