Anwar: Kertas Putih kes Pulau Batu Puteh akan dibentang di parlimen
Kertas Putih mengenai kes Pulau Batu Puteh akan dibentang di Parlimen untuk tindakan selanjutnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini, Anwar berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said akan menyediakan kertas putih itu.
“Masalah yang kita hadapi adalah kerana laporan pasukan khas membantah keputusan untuk tidak merayu yang mengakibatkan kehilangan wilayah Malaysia dan saudara tahu kehilangan wilayah di mana-mana negara adalah masalah besar,” katanya.
Pada 27 Jan lepas, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata tindakan menarik balik dua permohonan semakan terhadap keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tidak teratur dan tidak wajar.
Pada 3 Feb 2017, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.
Bagaimanapun pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan tersebut sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.
Pada 14 Dis lepas, Anwar mahu isu tuntutan Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.
Anwar berkata beliau telah menjelaskan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong bahawa keputusan dibuat Malaysia tidak akan menjejaskan hubungan baik dua hala.
“(Ia juga) tidak jejaskan kedudukan status Batu Puteh yang sekarang ini sudahpun menjadi milik Singapura mengikut keputusan ICJ.
“Tindakan kelemahan yang melanggar proses itu terpaksa diangkat… sebab itu, Jemaah Menteri bincang panjang tentang langkah-langkah yang harus diambil dan keputusannya (atas) kebijaksanaan Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Anwar berterima kasih kepada Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas tindakan memberikan kemudahan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Sebahagian langkah segera dibuat antaranya buka pusat Imigresen dan Kastam tambahan dan perkara lain sedang diusahakan antaranya laluan motosikal dan pejalan kaki,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai