Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

K'jaan masih bincang calon peguam negara baru, kata Anwar

Kerajaan masih membincangkan kemungkinan calon-calon peguam negara yang sesuai bagi menggantikan Idrus Harun yang akan tamat kontrak pada Mac ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Kami masih membincangkan perkara itu," katanya ringkas dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya jika kerajaan telah mengenal pasti calon peguam negara yang baru.

Idrus dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Tommy Thomas pada 6 Mac 2020 ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Media sebelum ini melaporkan tiga nama hakim dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri untuk menggantikan Idrus, yang dilantik secara kontrak selama setahun bermula 6 Mac 2020.

Sementara itu,  Anwar memberi bayangan jumlah peruntukan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Feb ini dikurangkan, namun tidak akan membebankan program pembangunan.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata beberapa strategi belanjawan dan angka awal untuk Belanjawan 2023 telah dibentang dalam mesyuarat kabinet hari ini.

"Saya bentangkan strategi belanjawan dan angka awal kerana negara tidak boleh bertahan dengan defisit tinggi.

"Sejauh mana mampu kita kurangkan dan pengurangan yang tidak bebankan program pembangunan kita,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Feb ini dan Anwar membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb.