Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN l Rahmat bertimbang rasa

ULASAN l Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, kerana berjaya bekerjasama dengan peniaga memperkenalkan pakej hidangan harga berpatutan.

Tidak kiralah apa label yang diberikan, macam Menu Rahmah, tapi saya rasa kita elaklah frasa hidangan murah. RM5 tentulah murah bagi menteri dan kakitangan awam tapi bagi orang miskin yang berkeluarga besar, RM5 tidaklah murah. Lagipun murah boleh membawa maksud mutu yang rendah.

Berkenaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, dia ini seorang yang baik, serius dan bersungguh-sungguh. Saya mula kenal beliau secara peribadi ketika Pilihan Raya Umum 2013. Saya pergi melihat beliau berkempen di kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor. Dia mewakili PAS dan masa itu saya masih ahli Umno.

Saya tidak segera menulis berkenaan daya usaha ini atas dua sebab. Pertama, saya nak tengok dulu pencapaiannya dan kedua, hidangan dengan harga yang berpatutan menang dari dulu lagi ada cuma tidak diuar-uarkan.

Macam saya tampalkan pada 9 Januari, lama sebelum Menu Rahmah diperkenalkan, ada restoran (bukan gerai) yang kita boleh dapat sarapan secawan teh (atau kopi), sebungkus nasi lemak dan sekeping roti canai dengan harga RM5.80 atau lebih murah. Lokasinya pula dalam lingkungan CBD (Centra,l Business District) di ibu negara.

Sebenarnya, sebelum Menu Rahmah pun sudah ada banyak peniaga menjual dengan harga berpatutan dan tidak menaikkannya bertahun-tahun kerana simpati dengan pelanggan. Bukan semua peniaga cekik darah.

Yang jadi masalah adalah pelanggan yang pilih untuk makan di restoran eksklusif yang di"recommend" dan ditularkan di media sosial tapi bersungut harga mahal. Mereka ini bukan saja nak makan tapi nak "Instagram"kan apa yang mereka makan.

Atau jenis yang naik kapal terbang tambang murah kemudian bersungut dan membebel mengenai kelewatan, pindaan jadual, pembatalan penerbangan dan hidangan berulat. Sikap macam inilah yang diambil kesempatan oleh peniaga hisap darah.

Kempen macam Menu Rahmah ini ada beberapa kesan sampingan yang baik. Satu, bagi motivasi kepada peniaga mengenakan harga yang berpatutan (fair) dan buat kebaikan. Dua, buat peniaga berasa malu tidak melakukan kebaikan. Dan tiga, galak orang ramai berlanggan dengan peniaga menurunkan harga. Dan akhir sekali, kita harap pengguna yang lebih berkemampuan tidak main tumpang sekaki. Sekarang ini dengan adanya media sosial hal-hal macam ini boleh disebarkan dengan pantas dan luas.

Perbuatan menaikkan harga secara melampau dan serentak adalah kesan psikologi. Seorang peniaga naikkan harga dan tidak mendapat tentangan pembeli, peniaga-peniaga lain akan mengikut jejak langkahnya. Tetapi menang ada peniaga yang oportunistik dan tidak berhati perut yang menjadikan "profiteering" cara mengaut keuntungan melampau.

Betul jugalah macam kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, pengguna patut elak dan boikot peniaga yang mencari keuntungan melampau.


A KADIR JASIN ialah Tokoh Wartawan Negara dan bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Artikel ini asalnya disiarkan di Facebook penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.