Memang cita-cita dari sekolah, kata pengetua pertama Orang Asli
Rasila Yas mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Orang Asli pertama yang berjaya menjadi pengetua, berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu di Ipoh.
Dia berkata latar belakang dirinya yang bukan dilahirkan pada zaman teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menjadi cabarannya sebagai pendidik di sekolah.
Justeru itu, katanya dia terus melengkapkan diri dengan ilmu ICT seiring dengan kehendak pendidikan zaman ini.
“Ini cabaran bukan sahaja kepada saya tetapi juga guru-guru lain yang lahir pada zaman bidang ICT belum berkembang maju,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Rasila, sejak di bangku sekolah lagi dia sudahpun bercita-cita hendak menjadi guru besar.
“Memang dari sekolah itu cita-cita saya.
“Rasa gembira sangat cita-cita saya tercapai,” katanya yang berusia 52 tahun itu.
Rasila berketurunan suku Temuan berasal dari Kampung Putra, Negeri Sembilan dan membesar di Pengkalan Hulu (Kroh), Perak kerana mengikuti bapanya yang bertugas sebagai anggota unit elit Senoi Praaq dalam Pasukan Polis Hutan.
Graduan USM
Senoi Praaq (bahasa suku Semai bermaksud Orang Perang) dinamakan semula sebagai batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM yang dianggotai oleh Orang Asli.
Menurut Rasila, dia menceburi bidang perguruan pada 1996 apabila mula berkhidmat di Sekolah Menengah Pengkalan Hulu, Perak selama setahun.
“Mula-mula saya masuk bidang perguruan, jadi guru biasa sahaja.
“Saya waktu itu mulai mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah,” kata Rasila, graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang pendidikan dari Universiti Sains Malaysia.
Kemudian, pada tahun 1997, Rasila memohon pertukaran tempat ke SMK Petra Jaya, Kuching disebabkan mengikuti suaminya yang berkhidmat di Jabatan Mineral Geosains, Kuching sehingga tahun 2007.
Setelah 11 tahun mengajar di Sarawak, Rasila berpindah semula ke Perak dan berkhidmat di SMJK Ave Maria Convent, Ipoh.
Menurut Rasila, dia bergiat aktif menceburi kegiatan kemasyarakatan, khususnya pendidikan anak-anak Orang Asli sejak kembali ke Perak pada 2009.
Rasila memegang jawatan ahli jawatankuasa Biro Pendidikan Persatuan Orang Asli Perak (POAP).
Pergi ke kampung-kampung
“Kalau macam hujung minggu, saya sebenarnya banyak terima jemputan sekolah-sekolah untuk bagi motivasi kepada pelajar.
“Kadang-kadang saya sendiri pergi ke kampung-kampung Orang Asli, untuk beri motivasi kepada ibu bapa tentang penting pendidikan.
“Sampai ke Pahang pun ada, perkampungan Orang Asli di Cameron Highland,” kata Rasila.
Susulan pelantikan Rasila sebagai Orang Asli pertama memegang jawatan pengetua sekolah, sambutan sederhana diadakan di SMK Menglembu, Ipoh pada 1 Feb lalu yang turut dihadiri Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lembaga pengurus sekolah ketika itu.
Persatuan Orang Asli Perak (POAP) turut menzahirkan penghargaan dan berbangga dengan pencapaian Rasila itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai