Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Siapkan dulu projek terbengkalai sebelum buat projek baru - Adun

Kerajaan negeri Melaka perlu memberi tumpuan untuk menyiapkan projek sedia ada bagi mengelak kerja tertangguh dan terbengkalai sebelum merancang pembangunan mega, kata Adun Sungai Udang Mohd Aleef Yusof.

Dia merujuk kepada projek bandar pelabuhan laut dalam di luar pesisir Melaka yang mendapat maklum balas pelbagai ahli politik dan kumpulan alam sekitar.

Mohd Aleef berkata dia tidak pernah membantah sebarang rancangan pembangunan kerana ia akan membawa manfaat yang besar kepada Melaka. Bagaimanapun, dia kesal kerana terdapat banyak projek terbengkalai dan belum selesai di negeri ini.

"Masalah dengan negeri ini adalah begitu banyak projek tambakan laut yang terbiar dan tidak dimajukan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Mohd Aleef berkata projek pelabuhan laut dalam itu akan menjejaskan ekosistem marin dan mengancam sumber rezeki nelayan kecil.

Dia juga berkata projek itu sendiri akan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan dan mendakwa risiko penyiapannya terlalu tinggi.

Katanya, dia mengalu-alukan sebarang usaha untuk memajukan negeri Melaka dan rakyatnya tetapi menegaskan kerajaan negeri perlu mendapatkan kepercayaan rakyat sebelum mencuba sebarang pembangunan mega.

"Kini yang terbaru ada perancangan untuk membina pelabuhan laut dalam, adakah projek ini akan berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya," soal Mohd Aleef.

Awal minggu ini, Malaysiakini melaporkan terdapat satu lagi projek penambakan laut besar-besaran di Melaka yang merupakan bahagian pelabuhan laut dalam Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa projek itu dihentikan kerana ia akan memberi kesan teruk kepada persekitaran marin Melaka.

Kebimbangan mereka turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak cadangan itu, dengan alasan negeri itu tidak memerlukan satu lagi projek penambakan laut yang bermasalah.