Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penantian 40 tahun Hashimah untuk dapatkan MyKad berakhir

Selepas menunggu kira-kira 40 tahun seorang wanita - Hashimah - akhirnya menjadi warganegara Malaysia secara sah hari ini setelah menerima MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bercakap kepada pemberita, Hashimah berkata dia berasa gementar apabila datang ke pejabat JPN Putrajaya pagi tadi bersama peguamnya dari kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL).

"Saya masih macam tidak percaya akhirnya mendapat IC (MyKad). Saya menunggu untuk mendapatkan ini sepanjang hidup saya," kata Hashimah yang kini berusia 40 tahun.

Untuk rekod, Hashimah merupakan seorang anak yang menjadi yatim piatu kerana ditinggalkan oleh ibu bapanya pada 39 tahun lalu.

Dia kemudian membesar sebagai anak yang terbiar dan sempat diberi perlindungan di rumah kebajikan.

Pada 25 Feb 2020 Hashimah membuat permohon kewarganegaraan Malaysia menurut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan tetapi ditolak oleh JPN pada 29 Julai 2020.

Kes itu kemudian merujuk kes itu ke mahkamah dan berjaya dalam cabarannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan penolakan JPN.

Hakim Amarjeet Singh dalam keputusannya mengisytiharkan "Hashimah sebagai warganegara Malaysia mengikut undang-undang".

Mahkamah seterusnya memerintahkan JPN mengeluarkan sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan Malaysia kepada Hashimah.

Kini selepas sah menjadi rakyat Malaysia, Hashimah berkata, dengan adanya MyKad dia akan mencari kerja yang lebih baik untuk kehidupannya sendiri.

"Saya tidak tahu siapa ibu bapa saya kerana tidak tercatat dalam sijil lahir, malah agama saya juga dinyatakan ‘tidak dapat ditentukan’, atau tidak diketahui.

"Satu-satunya perkara yang saya tahu tentang diri saya hanyalah nama dan tarikh lahir saya," katanya.

Sebelum ini kata Hashimah dia berdepan kesukaran untuk mencari kerja, antara lain disebabkan statusnya serta tidak memiliki kad pengenalan.

Sementara itu peguam Hashimah, Zaid Malek, menggesa kerajaan supaya lebih prihatin berhubung isu kewarganegaraan anak-anak yang menjadi yatim piatu kerana ditinggalkan oleh ibu bapa mereka.

Menurut peguam dari LFL itu masih ramai anak yatim piatu yang tidak mendapat kewarganegaraan hanya kerana ibu bapa mereka gagal dikesan, sedangkan mereka lahir di Malaysia.

"Ketika kami gembira hari ini kerana Hashimah mendapat kad pengenalannya dan kes ini telah diselesaikan, kita tidak patut lupa bahawa masih ramai kanak-kanak di Malaysia masih menderita kerana tiada kerakyatan..

"Kami harap kerajaan lebih prihatin dengan keadaan ini terutama apabila mahkamah sudah memutuskan perkara ini dan wajar ia diterjemahkan menjadi pelaksanaan mengikut perlembagaan," katanya.