Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Masa yang tepat untuk guru Malaysia turun demonstrasi

Rabu lepas, kira-kira separuh sekolah (51.7 peratus) di seluruh United Kingdom (UK) ditutup kerana guru-gurunya turun berdemonstrasi.

Demonstrasi empat hari itu dikatakan akan menjejaskan sehingga 23,400 sekolah di seluruh UK. Sejak 2016, ini mungkin demonstrasi terbesar yang digerakkan oleh National Education Union (NEU) untuk memujuk guru keluar daripada kelas untuk menuntut hak mereka daripada kerajaan.

Hasilnya, lebih dari 200,000 guru turun berdemonstrasi pada hari yang dipanggil Walkout Wednesday untuk membantah tindakan kerajaan yang gagal menaikkan gaji setanding dengan inflasi dan kos sara hidup yang semakin menekan.

Ini juga bermakna ia menjadi demonstrasi terbesar yang pernah dihadiri oleh para guru di UK dalam tiga dekad. 

Krisis pendidikan nasional

Berbanding UK, guru Malaysia tidak pernah memiliki kekuatan dan keupayaan untuk mengorganisasi demonstrasi besar-besaran walaupun memiliki kesatuan guru yang besar seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)  yang dianggarkan memiliki keanggotaan melebihi 200,000 guru.

Sebelum pandemik, Bank Dunia dalam laporan pada 2019 menyatakan hampir 175,304 anak-anak sekolah rendah di Malaysia berada dalam kategori ‘miskin pembelajaran’. Terma ini diguna pakai oleh Bank Dunia untuk merujuk kepada golongan murid yang hadir ke sekolah namun gagal membaca dan memahami perenggan yang mudah ketika berumur 10 tahun. 

Laporan itu juga menganggarkan satu peratus kanak-kanak yang berumur dari tujuh hingga 12 tahun tidak bersekolah. Ini bermakna sehingga 31,154 anak-anak di Malaysia keciciran daripada pendidikan.

Data ini konsisten dengan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu seramai 34,074 murid cicir pada 2018 dan seramai 21,316 lagi cicir pada 2019. Bahkan secara kasar daripada jumlah kanak-kanak Orang Asli sekitar 60,800 orang pada 2020, dikhuatiri seramai 35,640 kanak-kanak atau 58.62 peratus tidak menamatkan sesi persekolahan mereka sehingga Tingkatan 5.   

Ini semua berlaku sebelum penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Pada tahun 2020 dan 2021, sekolah ditutup selama lebih dari 42 minggu, antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Situasi kemiskinan pembelajaran ini sangat meresahkan kerana Bank Dunia menjangkakan pasca pandemik, untuk setiap 100 kanak-kanak, 63 dikhuatiri miskin pembelajaran. Adakah ini bermakna daripada 4.9 juta murid di sekolah kita, seramai 3.1 juta berada dalam kategori miskin pembelajaran?

‘Beban guru’ menanggung krisis pendidikan

Satu lagi metrik yang diguna pakai oleh Bank Dunia dalam menilai kualiti pembelajaran di seluruh dunia adalah Learning Average Years of Schooling (LAYS) ataupun Purata Pembelajaran Berdasarkan Tahun Persekolahan. Sebelum pandemik, metrik LAYS untuk Malaysia hanyalah 8.89 sahaja berbanding 11 tahun persekolahan. 

Ini bermakna untuk setiap kanak-kanak yang bersekolah selama 11 tahun di Malaysia (enam tahun Sekolah Rendah dan lima tahun Sekolah Menengah), purata pembelajaran berkualiti yang mereka dapatkan hanya bersamaan dengan sembilan tahun pembelajaran sahaja atau defisit pembelajaran selama hampir dua tahun. 

Pascapandemik, jangkaan kehilangan tahun pembelajaran berdasarkan metrik LAYS ini dijangka bertambah 1.24 tahun lagi. Ini bermakna pada hari ini metrik LAYS sebenar Malaysia adalah 7.65 sahaja. Jika situasi ini benar, kanak-kanak di Malaysia hanya menerima pembelajaran berkualiti selama 7 tahun setengah sahaja berbanding 11 tahun persekolahan mereka iaitu defisit sehingga 3 tahun lebih.

Realitinya hari ini, untuk setiap 100 orang murid yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hampir pasti 18 daripadanya gagal. Kegagalan murid untuk mendapatkan sijil SPM juga adalah satu daripada beberapa jenis keciciran yang lainnya. Murid yang gagal mendapatkan sijil SPM ini tidak boleh menyambung pengajian mereka ke peringkat seterusnya dan akan menyebabkan mereka hilang potensi untuk mendapatkan pekerjaan dengan upah yang lebih menarik berbanding rakan mereka yang lain. 

Malangnya keciciran SPM ini adalah sebahagian kecil dari pelbagai jenis keciciran pendidikan yang lainnya seperti; i) Keciciran Literasi - 175,304 kanak-kanak di hujung usia persekolahan Sekolah Rendah di Malaysia tidak mahir membaca, ii) Keciciran Orang Asli – Untuk setiap lima anak Orang Asli, dua orang tidak menamatkan persekolahan hingga Tingkatan Lima, iii) Keciciran Prasekolah - 286,861 kanak-kanak berumur 5-6 tahun keciciran Pra-Sekolah pada 2021, iv) Keciciran Gizi - 562,440 kanak-kanak bawah 5 tahun bantut pada tahun 2019, v) Keciciran OKU - 38,696 kanak-kanak OKU keciciran pada 2022 serta vi) Keciciran SPM - 211,544 calon SPM sejak 2019-2021 keciciran sama ada kerana tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut mahupun kerana gagal mendapatkan sijil kerana tidak berjaya lulus subjek Bahasa Melayu ataupun Sejarah

Guru ‘burn out’, 10,000 bersara awal setiap tahun

Kesemua krisis pendidikan yang wujud ini kini ditanggung oleh guru bersendirian tanpa sebarang sokongan dan intervensi oleh KPM. Akhirnya akibat menanggung beban krisis yang terlalu berat, pascapandemik ramai guru akhirnya menyerah dan memilih untuk bersara awal.

NUTP dalam sebuah kenyataan pada April 2022 menyatakan lebih dari 10,000 guru bersara awal pada ‘tahun-tahun kebelakangan’ merujuk kepada tahun 2020 dan 2021. Berbeza dengan trend sebelumnya iaitu hanya 2777 guru bersara awal pada 2015 dan 3,591 permohonan pada tahun 2016.

Walaupun ramai berpandangan jumlah bersara awal yang begitu tinggi itu berpunca daripada kelesuan akibat tekanan mengajar dalam talian selama 42 minggu ketika sekolah ditutup kerana PKP, kita juga tidak dapat menafikan sistem pendidikan nasional yang berada dalam situasi kritikal pada hari ini wujud akibat daripada tiadanya kemahuan politikal untuk melakukan perubahan serta kelemahan urus tadbir oleh jentera KPM kerana sistem yang terlalu berpusatkan Putrajaya.

Ketiadaan autonomi di pihak Negeri dan Daerah menjadikan pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) secara semberono menjadi Little Napoleon dan menindas guru semata-mata kerana mahu memuaskan arahan atasan.

Akibatnya pelbagai program baharu direka-cipta dan guru dibebankan dengan birokrasi pengurusan yang tidak munasabah. Tekanan-tekanan pengurusan seperti ini akhirnya mengorbankan masa guru yang sepatutnya diluangkan untuk mengajar anak murid di dalam kelas dan membuat persediaan mengajar.

Hasilnya, lebih tiga juta anak-anak di sekolah pada hari ini masih mengalami ‘miskin pembelajaran’ meskipun hadir setiap hari ke sekolah. Guru yang bersuara menentang penindasan ini pula akan diugut dengan pelbagai tekanan lain seperti tindakan tatatertib untuk memastikan tiada sebarang rungutan disuarakan.

Dengan tiadanya kebebasan bersuara, guru-guru di sekolah pada hari ini bekerja mendidik anak bangsa tidak tumpah hanya seperti para robot di kilang menjalankan kerja-kerja yang perlu diselesaikan tanpa sebarang kreativiti.

Malaysia Madani lawan Malaysia Gelap

Dengan hadirnya Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada hari ini menandakan sebuah perubahan fasa yang lebih cerah daripada Malaysia Gelap yang dibina oleh kerajaan sebelumnya selama lebih dari 60 tahun pembungkaman oleh pemimpin ‘dinosaur’ sebelum ini.

Saya berpandangan inilah masa terbaik untuk para guru keluar dari kepompong ketakutan yang dimomokkan oleh penguasa sebelum ini dan mula menguji ‘kemahuan politik’ pemimpin era baharu seperti menteri Fadhlina Sidek serta mula menuntut semula hak guru yang dinafikan sebelum ini seperti ‘kebebasan bersuara’, ‘elaun yang lebih setimpal’ serta ‘kemahuan politik untuk memperbaiki krisis yang wujud’ dengan mengembalikan tugas guru untuk mengajar dalam kelas dan bukannya dengan membebani mereka dengan 9,876 borang yang direka oleh JPN dan PPD.

Untuk menguji Kerajaan Madani ini saya mengesyorkan guru untuk turun berdemonstrasi beramai-ramai dan menyuarakan hak yang selama ini dinafikan oleh penguasa; pasti ia adalah sebuah idea yang sangat tidak disukai oleh pegawai KPM yang mewakili deep state (daulah terpendam) yang telah wujud sejak 60 tahun dahulu.

Saya mencadangkan demonstrasi ini kerana jika UK, sebuah negara dengan peratusan ‘kemiskinan pembelajaran’ sekitar satu peratus sahaja pun mampu mengeluarkan guru dari kelas untuk turun berdemonstrasi menuntut hak mereka; apakah yang menghalang para guru di Malaysia, sebuah negara dengan kadar ‘miskin pembelajaran’ mencecah 13 peratus turut sama keluar dari kelas dan turun menuntut hak mereka di jalan raya? 


ZF ZAMIR ialah peraju gerakan perubahan pendidikan Untuk Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.