Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menu Rahmah dapat sambutan tapi penyampaian dasar kurang - Penyelidik

Menu Rahmah yang dilancarkan kerajaan pada minggu ini secara umumnya mendapat sambutan pelanggan dan peniaga, memandangkan program makanan harga murah itu dapat memenuhi keperluan golongan miskin tegar, dengan harga RM5 bagi setiap hidangan.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini di Mydin, Subang Jaya, Selangor, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan harga dan jenis menu yang ditawarkan. Menu itu juga mendapat sambutan baik daripada peniaga bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Antara menu yang ditawarkan ialah nasi ayam, nasi paprik, roti john, kuetiau goreng, rojak dan mee rebus yang berharga tidak melebihi RM5.

Bagaimanapun, pelanggan yang ditemui Malaysiakini masih berharap kerajaan dapat menurunkan harga barangan dan perkhidmatan.

Penyelidik bebas, Edwin Goh menyatakan kebimbangannya mengenai pelaksanaan Menu Rahmah meskipun menyambut baik menu berkenaan.

“Pada masa ini, nampaknya ia hanyalah satu lagi idea dasar yang berniat baik tetapi tidak dilaksanakan dengan baik.

“Saya gembira kerana kerajaan cuba menurunkan harga makanan, dan saya menyokong penggubal dasar yang melihat ini sebagai langkah jangka pendek untuk mengurangkan kos sara hidup bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.

“Bagaimanapun, pelaksanaan dasar membimbangkan saya. Menu Rahmah ini misalnya mengandaikan pembuat dasar memahami pengguna berpendapatan rendah. Ia menganggap mereka boleh pergi ke restoran-restoran ini dengan mudah, bahawa mereka menyukai makanan-makanan ini, dan mendapat nutrien yang mencukupi yang mereka perlukan untuk bekerja.

"Ada persoalan yang tidak terjawab tentang bagaimana dasar inisiatif ini akan sampai kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada Malaysiakini.

Goh berkata hal yang sama berlaku terhadap program Payung Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, termasuk pemberian bakul makanan, Jualan Murah Rahmah Kasih Sayang dan Cafe Rahmah untuk pelajar universiti.

Ketika pelancaran menu berkenaan baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata program itu melibatkan lebih 15,000 kedai makan di seluruh negara.

Salahuddin berkata kerajaan setakat ini tidak bercadang memberikan subsidi bagi mengurangkan beban pengusaha kedai makan, namun mungkin akan memberikan insentif kepada mereka yang terlibat dalam Menu Rahmah.

“Promosikan lebih banyak pilihan makanan murah bagus. Saya suka menteri Salahuddin Ayub kata inisiatif ini mampan dari segi kewangan untuk pemilik perniagaan, kerana masih mendapat sedikit margin keuntungan, tetapi mereka perlu kompromi sedikit,”kata Goh.

Tingkatkan komunikasi

Bagaimanapun, dia berkata ia memerlukan strategi komunikasi yang berkesan untuk melaksanakan dasar tersebut.

“Ia sekurang-kurangnya harus mencapai tiga objektif: untuk menggalakkan lebih ramai pemilik perniagaan mengambil bahagian; mengelak atau menolak sebarang stigma kemiskinan yang berkaitan dengan program ini; dan memastikan penyampaian mesej kepada khalayak sasarannya,” tambahnya.

Goh berkata, orang ramai juga tidak mampu untuk mengurangkan perbelanjaan jika pendapatan mereka tidak meningkat.