Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Warisan mahu Menu Rahmah diperluas di Sabah

Parti Warisan memuji program Menu Rahmah oleh kerajaan Persekutuan dan menggesa kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya memperluas inisiatif itu ke negeri berkenaan.

Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata Menu Rahmah ialah inisiatif bagus yang diperkenalkan kerajaan bagi menawarkan lebih banyak pilihan tempat makan selain mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Inisiatif ini menerima maklum balas yang bagus di Semenanjung Malaysia, malah rakyat daripada golongan M40 dan T40 juga membanjiri kedai yang menyertai usaha ini untuk menikmati makan tengah hari pada harga hanya RM5.

“Berapa kerap anda mendengar sepinggan hidangan berharga RM5 pada masa ini? Menu nasi bajet pun harganya lebih daripada itu.

“Tetapi malangnya inisiatif ini hampir tidak didengar atau dilihat di Sabah walaupun kos harga makanan di kedai di Sabah lebih tinggi dari Semenanjung Malaysia.

"Saya rasa rakyat Sabah pastinya ingin menikmati makan tengah hari dengan harga hanya RM5,” kata Adun Tanjung Aru itu dalam kenyataan di Kota Kinabalu malam tadi.

Wong berkata terdapat banyak cara kerajaan negeri boleh menyokong seterusnya memperluas inisiatif berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan boleh menawarkan insentif seperti diskaun atau pengecualian lesen perniagaan, bayaran penilaian dan sebagainya untuk menggalakkan premis perniagaan makanan tempatan di Sabah menyertai inisiatif berkenaan.

Selasa lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makan tengah hari atau makan malam berharga RM5 sepinggan di 15,000 premis menjual makanan di seluruh negara.

Menu itu terdiri daripada hidangan seimbang yang merangkumi nasi putih, satu pilihan protein sama ada ayam atau ikan, dan sayur. Ia ditawarkan kepada mereka yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup ketika ini.

- Bernama