Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Parlimen perlu bentang rancangan baiki kedudukan dalam indeks rasuah'

Veteran DAP Lim Kit Siang menyarankan agar sidang Parlimen yang akan bermula dua minggu lagi membangkitkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2022, serta membentangkan rancangan menjadikan negara sebagai antara yang terbaik dalam aspek integriti dan pencegahan rasuah.

Lim berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim komited untuk memastikan kedudukan negara dalam indeks tahun ini menunjukkan perbezaan ketara.

"Inilah sebab penting mengapa kerajaan perpaduan Anwar perlu mendapat sokongan penuh rakyat, supaya Malaysia boleh menjadi salah satu negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan pencegahan rasuah, dan bukannya menjadi negara yang berpecah belah, gagal dan kleptokratik.

"Kerajaan perpaduan Anwar adalah peluang terakhir untuk Malaysia menetapkan semula dan kembali kepada prinsip pembinaan negara asal yang telah diamalkan oleh tokoh kemerdekaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas laporan TI CPI 2022 yang menunjukkan markah Malaysia jatuh untuk tiga tahun berturut-turut, dengan mata 47 daripada 100.

Pada 2021 Malaysia mendapat 48 mata, pada 2020 dengan 51 mata dan pada 2019 dengan 53 mata.

Lim berkata TI CPI 2022 adalah bukti paling jelas Malaysia telah merosot menjadi negara kelas dua dan berisiko untuk dikategorikan bersama dengan negara-negara gagal lain dalam beberapa dekad akan datang.

Dia juga menyangkal kenyataan Presiden TI Malaysia Muhammad Mohan adalah silap bahawa Malaysia telah mundur ke titik permulaan.

Sebaliknya, katanya lagi, kedudukan Malaysia menjadi lebih buruk berbanding ketika laporan itu mula diterbitkan, iaitu pada 1995.

"Usaha terbaik dalam tiga dekad yang lepas untuk menghentikan kemunduran negara dalam melawan rasuah adalah semasa pentadbiran PH selama 22 bulan sebelum ia ditumbangkan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton yang telah membawa masuk dua kerajaan 'pintu belakang' yang tidak bertanggungjawab.

"Kedudukan TI CPI Malaysia pada tahun 2019 adalah yang terbaik yang pernah dicapai negara kita dalam tempoh 25 tahun sejak penerbitan carta ini.

"Pada tahun 2019, kita mencapai markah 53 daripada 100 di tempat ke-51 dari 180 buah negara, berbanding dengan kedudukan ke-62 dan markah 47 daripada 100 yang dicapai Malaysia pada tahun 2017," jelasnya.

Namun, katanya lagi, pentadbiran pimpinan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob gagal meneruskan usaha melawan rasuah tersebut.

Jelasnya lagi, Malaysia ditinggalkan bukan sahaja oleh 10 negara teratas – yang didahului oleh Denmark dan termasuklah Singapura - tetapi juga dipintas lima negara yang sebelum ini berada di bawah kedudukan Malaysia dalam TI CPI 1995.

Dengan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula, dia berkata Malaysia tertinggal di belakang Emiriah Arab Bersatu, Qatar, dan Arab Saudi.

Membuat perbandingan dengan Indonesia, dia berkata negara jiran itu juga menunjukkan perkembangan yang baik dengan markah 34 untuk tahun 2022, sedangkan Malaysia pula yang mencatatkan markah yang lebih buruk dengan hanya 47 pada tahun 2022.

"Kita mempunyai PN yang tidak sabar untuk menggantikan kerajaan Anwar, tetapi mereka tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan dalam usaha antirasuah dan pembinaan semula moral negara, sebaliknya hanya akan menyumbang kepada kemerosotan berterusan negara kita dalam siri TI CPI untuk menyaksikan Malaysia menyertai negara-negara corot dalam beberapa dekad akan datang.

"Pemimpin PN Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang pula tidak mempunyai komitmen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih dan bebas rasuah," dakwanya lagi yang menjadi ahli Parlimen tujuh penggal sejak 1969.