Tun Faisal sahkan turut dipecat Umno
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu turut memecat timbalan ketua Umno Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.
Faisal yang merupakan bekas setiausaha akhbar kepada Annuar Musa itu memaklumkan pemecatan tersebut di Facebooknya, semalam.
Menurut Faisal, pemecatannya dimaklumkan melalui surat ditandatangani Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan bertarikh 27 Januari.
"Jam 4.28 tadi (petang semalam), ibu pejabat Umno menghubungi saya dan menghantar melalui WhatsApp, surat pemecatan saya," katanya.
Menurut surat itu yang turut dikongsinya, MKT memutuskan untuk memecat Faisal kerana melanggar lima perkara dalam Fasal 20.9 Perlembagaan Umno.
Menurut fasal tersebut, setiap ahli parti perlu:
Patuh kepada perlembagaan dan kod etika parti
Patuh arahan parti
Melaksanakan dasar parti
Menghormati keputusan parti
Menjaga imej dan maruah parti
Dalam pada itu, Faisal mendakwa lembaga disiplin Umno gagal membuktikan dia bersalah kerana dakwaan memfitnah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung surat sokongan kepada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
"Jika MKT dan lembaga displin benar-benar berfungsi, orang yang pertama yang patut dipecat adalah Zahid kerana dia telah mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) sejak Okt 2020 lagi, diikuti dengan 13 orang lagi pemimpin Umno yang turut menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar menjadi PM.
"Jadi untuk kali ini, tidak perlu untuk saya membuat rayuan kerana keputusannya sudah boleh dijangka, lebih-lebih lagi apabila terbukti MKT dan Zahid tidak terbuka untuk menerima kritikan, terutama terhadap Zahid.
"Ketika saya bercakap perkara yang benar dulu pun berkenaan pengkhianatan Zahid terhadap dasar parti, saya tetap dihukum kononnya kerana memfitnah," katanya.
Pada 28 Mac 2021, Umno menggantung keahliannya selama enam tahun, dipercayai kerana mengkritik Ahmad Zahid.
Minggu lalu, MKT Umno membuat keputusan memecat bekas ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin serta bekas menteri Noh Omar.
Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan, bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang digantung selama enam tahun.
Bagaimanapun sebab penggantungan mereka tidak dinyatakan.
Seramai 42 ahli Umno lagi dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai