Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

TPM: K'jaan akan bincang bagaimana produk kanabis, ketum boleh ditanam

Kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melihat kesesuaian dan kaedah penghasilan produk berasaskan kanabis dan ketum dalam bidang perubatan jika ia dibenarkan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata pihaknya akan memperincikan perkara itu termasuk melakukan perbincangan dengan pihak industri, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Menurutnya, perbincangan itu juga untuk melihat kesesuaian bagaimana cara untuk menjadikan produk itu ditanam, diproses serta dijual hasilnya dalam keadaan terkawal.

"Saya sendiri sudah dibentangkan oleh beberapa pasukan daripada industri dan persatuan berhubung ketum dan kanabis yang kita lihat di dunia ini termasuk Thailand aktif, tetapi di Malaysia ia adalah barangan di bawah kawalan.

"Kalau dapat hasilkan dalam keadaan terkawal dari segi tanaman dan proses untuk bidang perubatan dalam negara termasuk menghasilkan minyak serta lebih kepada eksport, ini mungkin salah satu perkara yang kita boleh fokus.

"Jadi kita akan perincikan perkara ini dengan mengadakan perbincangan dengan KKM, pihak industri dan NGO yang berkaitan untuk melihat kesesuaian pelaksanaan jika ia dibenarkan," katanya pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara di Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.

Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata demikian ketika ditanya bagaimana kerajaan melihat industri berasaskan tumbuhan berkenaan selepas langkah proaktif diambil kerajaan Thailand membenarkan penanaman dan penghasilan produknya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Siti Aminah Aching.

Sementara itu, Fadillah berkata tanaman terbabit mempunyai nilai positif terutama dalam bidang perubatan dan kawalan perlu dibuat memandangkan tanaman ini mempunyai persepsi negatif.

Sebelum ini kerajaan dilaporkan akan mengambil pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun lalu.

Menteri kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin berkata Thailand telah banyak berkongsi pandangan dan pengalaman akan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan dan penanamannya.