'Peralihan kepimpinan Umno Johor bukan untuk kuatkan kelompok'
Pengerusi Umno Johor yang baru, Mohamed Khaled Nordin berkata peralihan kepimpinan itu bukan untuk menguatkan mana-mana kelompok atau kumpulan tetapi sebaliknya bagi memulih, merawat dan membangunkan semula kekuatan parti.
Mohamed Khaled, yang mengambil alih jawatan itu daripada Hasni Mohammad, bertekad untuk memastikan perpaduan dan kesatuan Umno negeri itu tetap terpelihara.
Sambil berterima kasih kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan terhadap beliau bagi menggalas tanggungjawab itu, naib presiden Umno itu menyifatkan jawatan baru tersebut datang dengan tanggungjawab yang sangat berat.
"Saya juga sangat menghargai sumbangan besar Datuk Seri Hasni Mohammad terhadap Umno Johor.
"Peralihan kepimpinan ini dilakukan untuk saya meneruskan kerja-kerja baik yang telah beliau laksanakan, insya-Allah," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, semalam.
Jumaat lepas, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan menggugurkan Hasni, yang juga ahli parlimen Simpang Renggam, daripada terus memimpin Umno Johor dan menggantikannya dengan Mohamed Khaled.
"Adat berpolitik, pasti ada badai dan geloranya. Terimalah ia sebagai pasang surut dalam perjuangan dan Insya-Allah akan ada hikmah terpenting dari segalanya itu," katanya.
Justeru, Khaled yang juga ahli parlimen Kota Tinggi itu menyeru semua pemimpin Umno Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti, selain tidak akan menyisih dan meminggirkan sesiapa.
"Semua bagi saya adalah sahabat dan keluarga besar Umno Johor yang akan dirai dan dihargai," kata bekas menteri besar Johor itu.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai