Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perkhidmatan waktu puncak LRT Ampang dan Sri Petaling, monorel dilanjutkan

Perkhidmatan waktu puncak bagi Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Monorel Kuala Lumpur akan dilanjutkan bermula esok.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan waktu puncak itu dipanjangkan dari 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal tujuh pagi hingga 9.30 pagi dan dari 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding lima petang hingga 7.30 malam.

Menurut kenyataan itu pemanjangan operasi tersebut susulan gangguan perkhidmatan di antara dua stesen LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek akibat penjajaran landasan yang bengkok.

“Langkah ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna, selain mereka dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel khususnya di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Hang Tuah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bilangan bas perantara percuma juga akan ditambah bermula esok bagi tiga laluan dengan kekerapan 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.

Tiga laluan itu ialah laluan LRT 9 melibatkan LRT Hang Tuah - LRT Bandaraya - LRT Hang Tuah (15 bas); laluan LRT 10 membabitkan LRT Masjid Jamek - LRT Bandaraya - LRT Masjid Jamek (9 bas); dan laluan LRT 11 iaitu LRT Sentul Timur - LRT Bandaraya - LRT Sentul Timur (10 bas).

“Prasarana memohon maaf atas kesulitan dialami penumpang dan amat menghargai sokongan serta kesabaran mereka. Inisiatif ini adalah komitmen kami dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pengguna sentiasa dalam tahap terbaik,” menurut kenyataan itu.

-Bernama