Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Menilai kebijaksanaan menteri nak bawa masuk pakar HDB

ULASAN | Sudah hampir dua minggu tercetus polemik melibatkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mahu membawa masuk agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi tujuan menambah baik sektor perumahan di negara ini.

Bagi saya, hasrat ini tidak salah pada dasarnya. Namun kritikan daripada orang awam juga tidak boleh dipandang ringan kerana juga ada asasnya. Maka, Nga Kor Ming sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan tidak sewajarnya mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada para pengkritik seperti yang dilaporkan pada 26 Januari lepas.

Nga sebagai pendukung Demokrasi Sosial harus mengamalkan sikap politik yang lebih waras dan sederhana sesuai dengan ideologi partinya, bukan semberono seperti Umno.

Sebelum pergi lebih jauh, saya melihat isu membawa masuk HDB ini bukanlah salah dari segi dasar tetapi ia bukanlah langkah strategik untuk negara atau kementerian, apatah lagi untuk rakyat.

Dalam keadaan ekonomi yang lembap, kos-kos untuk membayar pakar ini bukan kecil. Malah kerahsiaan elemen-elemen strategik kepentingan negara perlu diambil kira.

Dalam isu ini, ia melibatkan isu hartanah dan isu ini pastinya memerlukan nasihat dari pakar perundangan kerana cadangan menteri KPKT ini melibatkan kepakaran dari luar negara yang akan mempunyai akses maklumat kepada aset negara iaitu tanah. Kementerian harus mengkaji sedalam-dalamnya sebelum langkah susulan boleh dibuat. Malah, ahli-ahli parlimen wajar membincangkan hal ini di parlimen sebagai menyahut dasar ketelusan kerajaan Madani hari ini.

Mahdzir Ibrahim

Pada masa sama, membaca hujah atau kritikan awam mengenai Langkah KPKT ini ada sandarannya, iaitu adakah Malaysia sudah tak punya kepakaran dalam mengurus isu ini?

Hujah ini sewajarnya dibincangkan di setiap peringkat kerana dalam isu ini rakyat juga adalah pemegang taruh utama, menteri kenalah bersabar dan bertenang menanggapi kritikan tersebut.

Mungkin Nga terlupa atau terlepas pandang, dalam DAP ada seorang ahli yang pakar dalam perancangan bandar iaitu Prof Dr Tajuddin Rasdi. Beliau seorang arkitek yang sangat berpengalaman, baik dalam bidang akademik mahupun industri perumahan. Beliau juga telah mebuat kajian dan menerbitkan banyak buku-buku mengenai isu ini.

Namun, mengapa Nga sebagai pemimpin DAP tidak menggunakan khidmat Prof Tajuddin yang juga ahli DAP dan pakar dalam bidangnya?

Di satu sudut yang lain, negara mempunyai banyak agensi yang mempunyai pengalaman dalam mengurus masalah perumahan negara seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Uda Holdings Berhad, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Langkah menteri untuk membawa masuk pakar asing secara tidak langsung seolah-olah tidak yakin dan tidak mengiktiraf pakar dan agensi tempatan. Sekalipun agensi ini dilihat tidak cukup mahir atau ada kelemahan, maka penambahbaikan adalah jalan terbaik untuk dilakukan, bukan membawa masuk agensi asing sebagai jalan pintas.

Selain agensi yang ada, kita juga mempunyai agensi yang boleh membantu mengurus isu perumahan ini dari dasarnya seperti Khazanah Research Institute (KRI). Agensi ini adalah sebuah pusat kajian untuk ekonomi dan pembangunan yang sudah membuat dan menerbitkan banyak hasil kajian dan teruji dalam bidang pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Nga Kor Ming

Justeru, sewajarnya agensi seperti KRI ini digunakan untuk membantu kementeian dan agensi sedia ada untuk mengurus dan menambah baik masalah kita ini. Maka soalannya mengapa instrumen yang kita telah ada ini tidak dimanfaatkan? Apakah HDB Singapura ini lebih memahami sosioekonomi rakyat negara ini berbanding pakar tempatan di KRI?

Saya tidak mahu bercakap tentang agenda terselindung di balik usaha menteri ini. Bagi saya itu semua cakap politik dan gosip liar yang tak perlu diambil pusing.

Tetapi, menteri yang bertanggungjawab harus menjelaskan kepada rakyat apa kelebihan HDB Singapura berbanding pakar-pakar dan agensi dalam negara kita. Jika tidak dijelaskan, maka gosip-gosip politik liar ini akan ditafsir oleh rakyat sebagai bukan 'berita palsu', tetapi berita benar.


MAHDZIR IBRAHIM ialah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

Tulisan ini tidak semestinya mencermikan pendirian Malaysiakini.