Strategi kurangkan kebergantungan makanan import akan dilancar
Kerajaan sedang merangka strategi baru untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan mentah import, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Dia berkata beberapa projek perintis berkenaan perkara itu akan dilancarkan tidak lama lagi.
Antaranya projek pertanian melibatkan rantaian makanan yang bertujuan menjamin kelestarian petani tempatan, katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Menurut Rafizi, strategi itu melibatkan sejumlah kementerian, antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
"Kita sedang merangka strategi baru terutama melibatkan rantaian makanan. Ia agar lebih banyak sumber dalam negara dapat kita gunakan bagi menggantikan makanan import.
"Ini adalah penyelesaian mudah (quick win solution) dan insya-Allah ia akan diumumkan dari masa ke masa," katanya.
Menurut Rafizi, negara mengimport antara RM60 bilion hingga RM70 bilion barangan makanan setahun, dan kerajaan sedang melihat beberapa jenis tanaman import yang boleh dituai di negara ini.
Cili, katanya, yang banyak diimport dari Vietnam, akan menjadi salah satu tumpuan.
"Tetapi kita bukan sahaja melihat untuk menarik orang ramai menanam cili di sini. Kerana sukar bagi penanam tempatan untuk bersaing dengan harga produk import.
"Kita juga mahu memastikan pasaran mengambil cili tempatan. Ini memerlukan kerjasama daripada pemain industri.
"Permintaan mesti ada sekurang-kurangnya satu atau dua tahun, dan pada harga yang boleh diterima. Kita tidak mahu pembekal hanya membeli daripada penanam tempatan apabila harga cili import tinggi, tetapi berhenti apabila ia turun," kata Rafizi. .
Sementara itu, berhubung perkara berkaitan, Rafizi turut mengumumkan Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan satu kumpulan untuk membangunkan aplikasi yang membolehkan pengguna membandingkan harga barangan di kawasan mereka.
Ini bertujuan untuk membantu pengguna lebih mengetahui julat harga bagi barangan yang mereka cari, dan dengan itu membantu mereka memilih dengan bijak.
“Sebagai contoh, apabila pengguna pergi membeli nasi dengan seketul ayam, dan sebuah restoran mengenakan harga tertentu, mereka boleh membuka aplikasi untuk menyemak julat harga hidangan sama di kedai lain berdekatan.
"Terpulanglah kepada setiap pengguna sama ada mereka mahu menjimatkan RM1 atau lebih. Tetapi ini adalah tanggungjawab kita sebagai Kementerian Ekonomi untuk menangani isu harga," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai