Tengku Zafrul intai tandingi PRN Selangor?
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Abdul Aziz dikhabarkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, kata sumber terdekat Umno.
Bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat enggan dinamakan, sumber itu berkata Tengku Zafrul kemungkinan akan bertanding salah satu DUN di parlimen Kota Raja.
"Memang ada perbincangan untuk membawa Tengku Zafrul ke salah satu DUN di parlimen Kota Raja.
"Dia telah pun memindah keahlian Umno ke bahagian Kota Raja bulan lepas. Tapi, bertanding di DUN mana, itu merupakan keputusan 'top level'," kata sumber itu.
Menurut satu lagi sumber, nama Tengku Zafrul telah disenarai pendek untuk bertanding sama ada di DUN Sungai Kandis atau Kota Kemuning.
"DUN Sungai Kandis memang secara tradisi ditandingi Umno. Sementara, DUN Kota Kemuning dibentuk selepas persempadanan semula pada 2018 ditandingi Gerakan mewakili BN.
"Pada PRU14 kedua-dua DUN itu dimenangi PH. Jadi, saya percaya kena ada perbincangan di peringkat tertinggi BN dan PH untuk memberi laluan kepada Umno pada kali ini," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Tengku Zafrul untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini sejak minggu lepas.
AJK bahagian Kota Raja
Pada PRU15, Tengku Zafrul bertanding di parlimen Kuala Selangor dan tewas kepada calon PH Dr Dzulkefly Ahmad.
Selepas itu, dia dilantik sebagai menteri dalam kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul yang merupakan senator bagi penggal kedua tidak boleh kekal dalam jawatan menteri sehingga tamat penggal lima tahun pada 2027 kerana tempohnya sebagai ahli Dewan Negara akan tamat pada Disember 2025.
Ketika dihubungi, Ketua Umno Bahagian Kota Raja Kamaruzzaman Johari mengesahkan Tengku Zafrul menjadi ahli di Kota Raja.
"Saya boleh mengesahkan dia menjadi ahli di Kota Raja. Dan telah dilantik sebagai AJK di peringkat bahagian.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh komen sama ada dia akan bertanding di DUN pada PRN negeri.
"Ia adalah keputusan pucuk pimpinan parti," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai