Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Fahmi harap draf pinda Akta 709 dibentang di parlimen tahun ini

Draf pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dalam usaha mengekang kebocoran data pengguna diharap dapat dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihaknya termasuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang meneliti beberapa penambahbaikan kepada draf pindaan kerajaan sebelum ini, sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita sedang teliti beberapa tambahan berkenaan aspek baharu boleh dimasukkan serta munasabah, kebolehpakaian akta ini,” katanya kepada Bernama.

Fahmi berkata pindaan akta itu juga akan meneliti pemakluman wajib syarikat pemegang atau pengguna data kepada JPDP sekiranya berlaku kebocoran.

Selain itu, jumlah denda terhadap syarikat pengguna data yang didapati menyalah guna data juga perlu ditingkatkan ke tahap maksimum, katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana sejak 2017, penalti yang dikenakan terhadap kira-kira 25 syarikat yang terlibat dengan kebocoran data secara purata hanyalah RM24,000 setiap syarikat,

“Ia satu angka yang amat memilukan, sedangkan data yang bocor atau tiris mungkin beribu, berpuluh ribu atau beratus ribu, ini jumlah denda 15 tahun lalu dan sekarang ia semestinya tidak lagi sesuai,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut merancang menaik taraf JPDP menjadi badan berkanun supaya jabatan itu mempunyai lebih banyak sumber bagi membanteras isu kebocoran data peribadi.

“Jika kita ingin membangunkan ekonomi digital, kita tidak boleh berharap pada satu badan sahaja, badan itu (JPDP) harus ditambah baik supaya mempunyai lebih ramai tenaga pekerja dari aspek penguatkuasaan dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh mengenai isu penipuan siber (cyber scam), Fahmi berkata kementeriannya sentiasa mencari jalan bagi mengekang jenayah yang semakin berleluasa itu termasuk perbincangan dengan pihak penyedia khidmat telekomunikasi.

Ia termasuk mekanisme menyekat panggilan dari luar yang berniat melakukan penipuan dan langkah tersebut telah dilaksanakan di beberapa negara maju.

Sementara itu, langkah meningkatkan literasi digital dalam kalangan pengguna juga akan terus dilaksanakan bagi menyemai kesedaran orang ramai terhadap penipuan siber.

“Menurut jabatan jenayah komersil ada lebih 14 jenis penipuan siber dan mereka (scammer) sentiasa mencari jalan lain jika kita mengekang mereka, kita melalui Jabatan Penerangan akan menyebarluaskan sebanyak mungkin info bagi menyedarkan orang ramai mengenai scam (penipuan) ini,” katanya.

Fahmi berkata antaranya menjalankan kerjasama dengan masyarakat di akar umbi seperti komuniti masjid dan rumah ibadat lain, rukun tetangga serta sekolah.

- Bernama