ULASAN | Agenda Madani dan melawan budaya mengalah
ULASAN | Dalam satu rakaman wawancara “Percakapan antara generasi” bersama Bapak Mohammad Natsir sekitar tahun 1986-1987, beliau diajukan soalan tentang penyakit Hubbud Dun-ya. Dalam konteks sosial, Pak Natsir telah mendefinisikan kalimah tersebut sebagai budaya mengalah, iaitu budaya yang enggan mengambil risiko.
Budaya ikut arus, sehingga sepanjang hidup mereka hanya mencari jalan selamat atau keuntungan sendiri. Bahkan menurut beliau “budaya mengalah” ini merupakan penyakit umat yang pada akhirnya merugikan kita.
Pastinya, dalam dunia politik ada juga penyakit Hubbud Dun-ya atau budaya mengalah ini. Penyakit ini ada pada golongan politik yang hanya mengikut arus populariti, tanpa mahu menggalas tanggungjawab memberi pencerahan untuk mengubah arus yang songsang.
Pergolakan dan permasalah politik dunia Islam pasti tidak akan berakhir bila mana pemain-pemain politiknya ada jiwa mengalah. Kekalutan politik Malaysia, contohnya, tidak akan surut dari simpang siur bila orang politik selesa untuk menjadikan rakyat sebagai golongan bergantung, dialas dengan budaya politik feudal yang mengangkat segolongan elit, memasung keistimewaan akal manusia untuk berfikir, sehingga segalanya diserahkan kepada orang politik untuk membuat keputusan.
Baru-baru ini, dalam Amanat Khas Membangun Malaysia Madani, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan hasrat membawa agenda pemerkasaan dan pemberdayaan rakyat. Pemerkasaan hingga memerdekakan rakyat dari sindrom kebergantungan.
Penekanan ini diamati sebagai satu keberanian untuk menongkah arus politik kebiasaan, bahkan percubaan untuk keluar dari budaya mengalah dan tunduk kepada keselesaan orang politik hari ini. Bagi menjayakan agenda Malaysia Madani, kelompok pemain politik memerlukan keberanian bertindak untuk merdeka dari budaya mengalah tersebut.
Di pihak rakyat pula, kaum majoriti terutamanya yang terdiri dari masyarakat Melayu dan peribumi harus berani untuk keluar dari pemakaian identiti negatif yang sekian lama menjadi mitos seperti malas berusaha, kaum bergantung, serta tidak berdaya saing.
Menanggapi mitos ini dengan sikap mengalah menyebabkan kaum Melayu dan peribumi ditanam rasa takut serta inferiority complex, seolah-olah yang ada pada mereka hanyalah kebergantungan yang tinggi kepada pemimpin politik dan kelas elit.
Prasyarat pembinaan masyarakat Madani
Ini kerana Madani itu sendiri adalah satu tema dan gagasan besar, merujuk kepada sebuah masyarakat Madinah yang diasaskan Nabi Muhammad pasca Hijrah dari Kota Mekah. Pembentukan masyarakat Madani ini menjadi bibit-bibit awal Islam membina sebuah beradaban yang menetaskan ketamadunan Umayyah di Andalusia dan Damsyik, Abbasiyyah di Baghdad, serta Uthmaniyah di Istanbul.
Ia hanya muncul bila mana umat berani untuk menongkah arus keluar dari barah jiwa hamba di bumi Mekah, dan menggarap nafas merdeka di bumi Madinah. Misi islah umat waktu itu menerusi jalan hijrah memerlukan keberanian. Keberanian untuk menolak budaya mengalah kepada hambatan jahiliyah demi membina masa depan yang mulia.
Justeru, atas keberanian ini, maka agenda pemerkasaan dan pemberdayaan rakyat telah berjaya disempurnakan. Ini yang dinukilkan Allah menerusi firman-Nya:
“Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan (pemerkasaan) memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj: 41)
Justeru, masyarakat Madani adalah masyarakat yang diberdaya rentetan dari keberanian untuk mereka keluar dari budaya mengalah. Pemberdayaan tersebut membuka laluan ke arah pembinaan kedaulatan, maruah, kehormatan dan harga diri warga yang disatukan dalam bingkai sebagai sebuah bangsa mulia dan bermartabat.
Seraya atas anugerah pemberdayaan tersebut mereka secara mandiri dapat mengubah nasib hidup serta memaknai kebebasan beragama mereka dengan mendirikan solat, dan membina masyarakat yang adil dan bermaruah dengan menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, dan mencegah dari perbuatan mungkar.
Menunaikan zakat adalah manifestasi masyarakat Madani yang membela golongan lemah dan miskin, menolak monopoli kekayaan tanpa sempadan segolongan pihak. Menyeru kepada yang makruf serta mencegah kemungkaran adalah manifestasi umat Madani yang berperanan serta menjadi ejen semak dan imbang kepada pemerintah secara kolektif.
Pemimpin Madani diikat semak dan imbang
Memahami peranan rakyat sebagai ejen semak dan imbang dalam konteks masyarakat Madani, penting untuk dihayati pesan Shaykh Muhammad ‘Abduh (Al Islam Wa Al Nasraniyyah Ma'a Al Ilm Wa Al Madaniyyah) yang menegaskan khalifah atau pemimpin Islam itu sendiri tidak maksum, tidak boleh memonopoli hak dalam mentafsir Al-Quran dan As-Sunnah, malah pemimpin itu tidak dibezakan dalam kefahaman kitab dan ilmu dari satu darjat kelebihan. Bahkan kedudukannya sama dengan yang lain, namun yang hanya membezakan adalah kecerdasan fikirannya serta kebenaran dalam memutuskan sesuatu hukuman.
Maka, kenyataan ini menuntaskan bahawa Islam adalah agama yang tidak mensakralkan mahupun mensucikan pemimpin. Justeru, menyedari hakikat ini, Shaykh Muhammad ‘Abduh telah menggunakan istilah “Madani” dalam membentangkan satu landasan kepimpinan Islam yang diistilahkan sebagai ‘Hakim Madaniy min jami’ al-wujuh’ – Pemerintah Madani dalam semua aspek.
Sifat pemimpin Islam sebagai pemerintah Madani ini mengikat mereka dengan mekanisme semak dan imbang. Antara keterikatan yang dihuraikan beliau adalah pemimpin itu ditaati selagi mana berada di landasan yang lurus, umat adalah pemilik hak untuk mengawal atau menjatuhkan pemimpin berasaskan maslahah, serta bertanggungjawab untuk menasihat serta memberi peringatan untuk meluruskan kembali penyimpangan pemerintah.
Namun, dalam berperaan sebagai ejen semak dan imbang, Allahyarham Dr Siddiq Fadzil (Pembinaan Masyarakat Madani Model Malaysia: UKM & Minds) menekankan tentang kepentingan budaya ilmu sebagai teras untuk menggarap idealisme kemakrufan. Idealisme kemakrufan ini harus terus diangkat dengan pembugaran disiplin ilmu agar ia tidak memudar, sehingga mengakibatkan terlenyapnya impian masyarakat Madani.
Madani dan meraikan kepelbagaian
Menerusi agenda pemerkasaan dan pemberdayaan rakyat, masyarakat akan terbebas dari ditawan oleh permainan sentimen perkauman sempit. Umat yang mandiri, kuat, berdaya saing serta tidak mengalah akan sentiasa terbuka menerima segala bentuk kepelbagaian sebagai ramuan meningkatkan kualiti hidup seterusnya mendaki puncak peradaban di hadapan mereka.
Menerusi kekuatan umat tersebut, serta didorong oleh kehebatan kepimpinan Baginda Nabi Muhammad SAW memimpin umat kosmopolitan dan beragam yang terdiri dari kepelbagaian kepercayaan iaitu Muslim, Yahudi dan Nasrani, ia menjadi satu model baru masyarakat madani untuk hidup damai serta membina tangga cita-cita untuk dikongsi secara bersama.
Ini yang ditegaskan oleh Prof Ismaʻil Raji al-Faruqi (The Hijrah: The Necessity of Its Iqamat or Vergegenwartigung: Terbitan ABIM) yang menegaskan peristiwa Hijrah yang menjadi permulaan babak pembinaan masyarakat Madani di Madinah ditanggapi sebagai satu yang fenomenal dalam tatanan dunia baru apabila terangkumnya sebuah masyarakat kosmopolitan yang inklusif dengan kepelbagaian bangsa dan agama.
Pada masa sama, buku Gelombang Kebangkitan Asia oleh Anwar menekankan peri penting mengiktiraf darjat kemuliaan insan “Karamah Insaniyah” tanpa dibatasi warna kulit sebagai tunjang masyarakat Madani.
“Tunjang kepada demokrasi dan masyarakat Madani ialah konsep karamah insaniyah, kemuliaan darjat insan seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Isra:70, yang bermaksud: “Sesungguhnya telah aku muliakan bani Adam”.
Justeru, dasar serta hukum yang menghargai kepelbagaian kaum dan agama serta kerencaman budaya di Madinah berhasil memantulkan proses saling menyerap peradaban-peradaban lain yang mengelilingi dunia Islam waktu itu.
Menangkis budaya mengalah dengan pencerahan
Dari sini ia memangkin “daya cipta” yang menjadi salah satu Rukun Madani negara. Perkongsian kearifan lokal serta kesediaan menimba ilmu serta berkongsi cita-cita bersama menggalakkan penyerapan peradaban-peradaban sekeliling hingga memunculkan ramai tokoh ilmuan Islam yang berjaya mencipta formula, teori, serta teknologi baru dunia.
Lantaran itu, ia meletakkan kepentingan nilai-nilai keterbukaan dan bersifat inklusif untuk semua golongan diraikan bagi kita berjaya untuk menata segenap potensi yang ada. Namun, cita-cita ini akan terus terhambat ekoran wujudnya arus perkauman sempit serta kebencian agama yang melatari masyarakat.
Dalam dunia yang kalut dengan polarisasi yang kian menebal sama ada di Barat mahupun Timur, ia menuntut kita menerusi pendekatan wasatiyah, keutuhan disiplin ilmu serta keyakinan kepada etos bangsa untuk tidak tunduk dengan budaya mengalah kepada sentimen-sentimen sedemikian.
Sebaliknya, menjadi tanggungjawab kita untuk membidani tugas mencerahkan masyarakat akan nilai-nilai perpaduan, kebersamaan serta perkongsian cita-cita yang menjadi tunjang merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah presiden Abim.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai