Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Isham minta Hamzah tunjuk bukti PN tak sogok pengundi

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menyoal pemimpin Perikatan Nasional (PN) berhubung isu "sedekah" kepada pengundi.

Isham meminta Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin menceritakan apa "niat" parti itu sekiranya benar ia memberikan duit kepada pengundi sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

"Cuba cerita sikit apakah niat PN beri duit kepada pengundi sewaktu pilihan raya itu, Hamzah?

"Dan kamu kata kamu ada bukti kukuh yang PN kononnya tidak rasuah pengundi semasa pilihan raya lepas.

"Jika benar, nyatakanlah bukti kukuh tersebut supaya rakyat boleh menilai dan untuk mengelak fitnah jika kamu benar.

"Dan jelaskan sekali berkenaan banyak video yang tular dan laporan polis yang dibuat berkenaan orang-orang PN beri duit kepada pengundi dan meminta penerima duit bersumpah atas nama Allah supaya undi PAS," katanya pada satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu hari ini, Hamzah berkata perkara yang lebih utama perlu diambil kira berhubung pemberian wang tunai kepada pengundi adalah niat di sebaliknya.

Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mempertahankan pemberian wang tunai ketika PRU15 sebagai sedekah.

"Saya tidak begitu pasti tentang (kenyataan Hadi) itu. Tetapi, maksudnya di sini apabila kita bercakap tentang memberi wang, niat adalah lebih penting," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Hamzah, terdapat keadaan orang ramai meminta wang daripada calon, misalnya untuk membaiki rumah mereka.

"Saya fikir kita perlu berhati-hati berkenaan niat mengapa wang diberikan dan juga orang yang memintanya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham juga menasihatkan pemimpin PN supaya "tidak memperguna dan menunggang agama" demi meraih undi.

"Allah maha mengetahui apa yang kamu dan rakan-rakan kamu buat. Bertaubatlah," katanya lagi.

Semalam, Abdul Hadi dilapor mempertahankan pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa PRU15, dengan mendakwa ia adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

The Malaysian Insight (TMI) memetik ahli parlimen Marang itu sebagai berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.