Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM: MA63, status Sabah, Sarawak akan dirujuk pada Raja-Raja Melayu

Isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah akan dirujuk kepada raja-raja Melayu sebelum perkara itu dibawa kepada pertimbangan kabinet, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Anwar bagaimanapun memberi jaminan kerajaan perpaduan telah mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai wilayah.

"Prinsip MA63, iaitu termeterai semasa penubuhan Malaysia (terdiri daripada) Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Itu istilah teknikal tentang kedudukan negeri dan wilayah.

"Dari segi pelaksanaan jelas tiga entiti, sama ada disebut negeri atau wilayah tidak merubah sikap kerajaan dan pendirian kita bahawa entitinya Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu.

"Tapi pindaan mana-mana istilah ini harus dirujuk kepada Raja-Raja Melayu,” katanya.

Anwar berkata proses itu boleh dijalankan, namun dia enggan menyentuh mengenainya kerana ia tidak menjejaskan kedudukan status negeri dalam konteks perlembagaan persekutuan yang sudah dipinda.

"Saya belum rujuk kepada Raja-Raja Melayu, hanya perbincangan awal dengan Agong. Jadi proses itu harus dihormati," tambah Anwar.

Awal minggu ini, Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg dilapor berkata perubahan status kedua-dua negeri itu sebagai wilayah masih di peringkat cadangan.

Ini selepas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini dilaporkan berkata Sabah dan Sarawak telah diberikan status wilayah dan tidak lagi dianggap sebagai negeri dalam Malaysia.

Zahid bagaimanapun tidak menyatakan bila ia berkuat kuasa.

Tekad politik

Pada sidang media hari ini, Anwar turut mengulangi tekadnya untuk memenuhi pelaksanaan MA63.

Menjawab satu soalan, dia berkata hanya terdapat beberapa isu tertunggak mengenai MA63 dan kabinet tidak mempunyai mempunyai masalah untuk menyelesaikan itu terbabit.

"Isu tertunggak itu sangat kecil. Dari segi teknikal pelaksanaan, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof akan pengerusikan (jawatankuasa teknikal MA63), dan berbubung dengan saya, Premier Sasrawak (Abang Johari) dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

"Pada saya, ini bukan isu. Tujuh, lapan isu kita bereskan dalam masa singkat dan kita baru ambil alih kerajaan dalam masa dua bulan saja.

"Ini mengenai tekad politik," katanya.

Pemberian khas Sabah, Sarawak dinaikkan

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengumumkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak akan dinaikkan kepada RM260 juta dan RM300 juta.

Dia berkata bonus yang dibayar kepada penjawat awam di bawah semua kerajaan dan agensi negeri, jyga akan dikecualikan cukai.

Perdana menteri itu berkata hal ini telah menjadi amalan bagi penjawat awam di bawah kerajaan persekutuan dan agensi kerajaan.

Beliau turut mengumumkan pelantikan setiausaha kewangan Sarawak Wan Lizozman Wan Omar sebagai wakil Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berkuat kuasa hari ini.

Tambahnya, Setiausaha kewangan negeri memenuhi syarat iaitu profesionalisme dan pengalaman yang boleh membantu LHDN.

Dalam pada itu, Anwar turut mengarahkan tanah-tanah negeri yang diserahkan kepada kerajaan persekutuan untuk tujuan pendidikan dan kesihatan beberapa dekad lalu diserahkan semula kepada kerajaan negeri masing-masing, sekiranya ia belum dibangunkan sehingga kini.

"Kerajaan persekutuan melalui pendidikan, kesihatan dalam negeri, ambil tanah yang diserah dengan kos sangat rendah untuk kepentingan awam.

"Tetapi dari 70an dan 80an, ada tanah tidak laksana projek, mungkin tanah tidak sesuai dan peruntukan tak ada.

"Dengan demikian kita beri tempoh tiga bulan, kalau benar tidak ada sekolah dan akan dibangunkan dan tidak ada peruntukan, maka tanah tersebut diserah kembali ke negeri dengan harga asal dan mungkin MOF letakkan kos," katanya.

[Baca berita asal]