Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bomba perlu tambah 3,000 anggota - KP JBPM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memohon pertambahan sebanyak 3,400 kakitangan sebagai antara langkah menambah baik perkhidmatan kebombaan kepada masyarakat.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata pertambahan itu adalah sebahagian daripada langkah penstrukturan semula jabatan tersebut yang akan dibentangkan kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.

“Kita akan bentangkan kepada kerajaan tiga fasa yang terlibat iaitu aspek kritikal dan penting sebagai fasa pertama, yang kedua dari segi operasi strategik dan seterusnya pengukuhan termasuk pemodenan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2023 JBPM di ibu pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pengambilan tersebut juga berasaskan 22 faktor dan kriteria termasuk populasi dalam menentukan sama ada kekuatan anggota mencukupi.

Mohammad Hamdan berkata jabatan itu juga akan menambah 12 ekor anjing pengesan selepas aset hidup berkenaan menunjukkan pencapaian baik dalam operasi mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor, Disember lepas.

Katanya pembelian tersebut telah mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menambah 36 ekor anjing sedia ada.

Menurut beliau kos untuk seekor anjing pengesan dan pakej pengendali boleh mencapai RM400,000.

- Bernama