Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bila kita jaga agama, Allah pasti lindungi kita - Pesan Zahid pada Felcra

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan ahli pengurusan Felcra Berhad supaya sentiasa menjunjung tinggi pegangan agama supaya dilindungi Allah.

Kerana apabila kita menjaga agama Allah. Saya pasti Allah akan menjaga kita,” katanya ketika berucap semasa majlis bersama syarikat milik kerajaan itu.

Zahid turut menyebut cubaan sesetengah pihak untuk menjatuhkan orang dan organisasi tertentu.

"Biar kita disimbah pelbagai keaiban tentang negativiti terhadap diri kita, atau kumpulan kita.

"Baik cara individu. Itu adalah perancangan jijik daripada seseorang atau sekumpulan orang yang mahu meruntuhkan institusi dan organisasi mengikut teori domino tapi jelas bahawa perancangan itu tidak berjaya.

"Percubaan ini bagaimanapun gagal kerana orang itu dilindungi Allah," katanya

Zahid, yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah menyampaikan ucapannya selepas menerima taklimat ketua pegawai eksekutif Felcra Mat Roni Zakaria (gambar, atas) mengenai struktur, usaha perniagaan dan transformasi agensi itu.

Walaupun dia tidak memberikan sebarang konteks untuk cerita itu, dipercayai Zahid merujuk kepada percubaan pesaingnya untuk menjatuhkan kepimpinannya dalam Umno baru-baru ini.

Perkara itu tercetus dalam ucapannya ketika Zahid memberitahu ahli pengurusan Felcra supaya bersikap amanah, telus dan jujur dalam menjalankan tugas.

Menurut Zahid, seseorang tidak boleh tersilap apabila mereka menggunakan keseimbangan antara dunia dan akhirat dalam kehidupan seharian mereka.

Sementara itu, pada majlis sama, timbalan perdana menteri turut menyeru supaya Felcra menyokong usaha kerajaan dalam memastikan jaminan bekalan makanan negara.

Selepas mendengar taklimat Mat Roni, Zahid berkata perbadanan itu mempunyai cara dan sumber untuk mempergiatkan perniagaannya ke arah menghasilkan lebih banyak produk pertanian dan makanan untuk negara.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, dia berkata keterjaminan makanan telah dikenal pasti sebagai bidang yang perlu diberi tumpuan oleh Felcra untuk masa hadapan.

Katanya, Felcra perlu menumpukan pengeluaran produk pertanian dan ternakan serta pengeluaran makanan ternakan untuk pasaran tempatan.

"Supaya kita tidak bergantung terhadapproduk import," kata timbalan perdana menteri.

Menyasarkan Felcra dapat mula menyokong keterjaminan makanan negara dalam tempoh empat tahun mulai hari ini, Zahid berkata kerajaan juga akan membantu Malaysia mengawal aliran keluar mata wangnya.

Mengenai perkara lain, Zahid memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengarahkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengambil tindakan segera terhadap cadangan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Walaupun tidak banyak kes ketirisan di bawah kementerian, dia berkata mereka akan bertindak mengikut semua cadangan yang dibuat dalam laporan itu dengan memberi tumpuan kepada isu berkaitan rasuah.

“Fokus jika ada ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa,” katanya.