Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Insiden gelongsoran tanah Pos Dipang disiasat - Saarani

Kerajaan Perak sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian gelongsoran tanah di perkampungan masyarakat Orang Asli Pos Dipang, dekat Kampar baru-baru ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata siasatan telah dilakukan bagi mengenal pasti sejauh mana keseriusan insiden terbabit dan keperluan membaiki keadaan atau sebaliknya.

"Kita telah gerakkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi melihat punca sama ada ia disebabkan hujan, penggondolan tanah atau sebagainya.

"Sebelum kerja pembaikan dilakukan, kita perlu siasatan dahulu tahapnya dan ini adalah hal teknikal maka disebabkan itu ia perlu dilihat menggunakan kepakaran masing-masing terutama sekali oleh Unit Bahagian Cerun JKR,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak dekat Ipoh hari ini.

Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim serta Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Perak, Yusoff Razali.

Saarani berkata sehingga kini tiada pemindahan mangsa dilakukan susulan kejadian itu.

Sebelum ini, PDT Kampar menerusi akaun Facebook memaklumkan terdapat lima rumah di Pos Dipang terjejas susulan insiden berkenaan.

- Bernama