Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nancy: OKU bakal menikmati pengangkutan awam percuma

Orang kelainan upaya (OKU) bakal menikmati pengangkutan awam secara percuma, sebaik sahaja mekanisme mengenainya selesai disediakan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah bersetuju dengan cadangan itu.

Kata Nancy, ia akan meliputi kemudahan seperti LRT, MRT dan bas henti-henti.

"Secara prinsipnya dia (Loke) bersetuju, dan akan memikirkan mekanisme terbaik untuk melaksanakannya," ciapnya di Twitter.

Walau bagaimanapun, tidak dijelaskan sama ada inisiatif ini juga terpakai kepada tren KTM Komuter.

Manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) antara lain berjanji, menawarkan akses yang lebih baik kepada pengangkutan awam untuk OKU dan memastikan kebolehcapaian melalui piawaian reka bentuk sejagat untuk perkembangan baru.

BN pula dalam manifestonya berjanji akan mengeluarkan RM10 juta baucar perjalanan untuk OKU menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Tahun lalu, Senator Ras Adiba Radzi menggesa kemudahan pengangkutan awam untuk meningkatkan kebolehcapaian untuk OKU.

Ini termasuk menyediakan lif di semua stesen, laluan sentuhan untuk orang buta, pintu platform automatik yang lebih luas untuk akses kerusi roda, kaunter bantuan khas OKU, butang bantuan kecemasan berhampiran lif dan tempat letak kenderaan serta tempat turun kenderaan OKU.

Ras Adiba turut mencadangkan tali pinggang keledar dan pengangkat khas pada kereta api untuk keselamatan pengguna kerusi roda.

Pengguna pengangkutan awam OKU lain turut menggesa penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih baik bagi memastikan kemudahan, seperti kaki lima yang lebih luas di sekitar stesen, tidak disalahgunakan.