Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cubaan kedua Najib batal sabitan kes SRC di Mahkamah Persekutuan

Najib Razak akan mempunyai peluang rayuan kedua di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan bersalahnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan esok Khamis serta Jumaat minggu ini dan 26 Jan untuk mendengar semakan oleh bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu.

Bagaimanapun pada 10 Jan, dilaporkan bahawa mahkamah negara paling tinggi itu telah mengosongkan tarikh 21 dan 26 Jan, kerana ahli panel mempunyai kes lain untuk dibicarakan pada tarikh tersebut.

Najib memohon kuorum mahkamah tertinggi yang berbeza daripada yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang pada 23 Ogos tahun lepas menolak rayuannya untuk membatalkan sabitan, hukuman penjara dan denda.

Kes itu melibatkan satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

Najib ketika ini sedang menjalani di Penjara Kajang dan dia juga sedang mengusahakan jalan lain di luar badan kehakiman, seperti petisyen untuk pengampunan diraja serta petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dakwaan penahanan sewenang-wenangnya.

Menurut salinan notis usul semakan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga menyasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak tiga permohonan interlokutorinya.

Salah satunya ialah permohonan Najib untuk menarik balik hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada kes SRC International dan membatalkan keseluruhan perbicaraan.

Kedua ialah usaha Najib untuk menangguhkan pendengaran Mahkamah Persekutuan berhubung rayuannya bagi membenarkan pasukan peguamnya membuat persediaan bagi kes itu, dan ketiga ialah permohonan untuk menarik balik Tengku Maimun daripada mendengar rayuannya.

Selain pembebasan, Najib juga mungkin mendapat perbicaraan semula rayuan kes SRC di hadapan panel hakim yang berbeza jika semakannya dibenarkan.

Pengerusi penasihat BN itu masih mempunyai empat lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai iaitu kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB, kes jenayah pecah amanah Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa RM6.6 bilion, kes pindaan audit 1MDB dan kes pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta daripada SRC.

Melalui permohonan semakan sekarang, Najib berhujah bahawa hakim Nazlan - yang telah dinaikkan pangkat dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan - mempunyai konflik kepentingan apabila mendengar kes SRC International.

Antara lain, Najib mendakwa Nazlan sedar bahawa Maybank Investment (satu entiti Kumpulan Maybank) dan BinaFikir (satu lagi entiti Kumpulan Maybank) yang memberikan nasihat kepada syarikat pelaburan negara 1MDB dalam perkara yang berkaitan dengan penubuhan SRC Antarabangsa.

Najib mendakwa konflik kepentingan itu timbul kerana peranan Nazlan sebagai peguam am Maybank sebelum ini.

Ini termasuk tuduhan bahawa Nazlan mempunyai kawalan undang-undang, penyeliaan dan pengetahuan mengenai pinjaman RM4.17 bilion yang diberikan daripada bank kepada 1MDB Energy, anak syarikat 1MDB.

SRC mulanya anak syarikat 1MDB, sebelum kemudian dipindahkan sepenuhnya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). MOF Inc juga merupakan pemilik 1MDB sepenuhnya.

Najib juga berhujah bahawa keengganan mahkamah tertinggi memberikan penangguhan kepada peguamnya Hisyam Teh Poh Teik untuk menyediakan rayuan SRC adalah tidak berperlembagaan, didakwa melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Dia berhujah bahawa rayuan SRC telah dilupuskan walaupun pasukan peguamnya tidak mengemukakan sama sekali kerana keadaan yang didakwa tidak bersedia.

Pasukan peguam Najib yang melibatkan Hisyam, antara lain, mengambil alih daripada peguam terdahulu yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah pada Julai untuk rayuan SRC.

Bagaimanapun, bagi permohonan semakan kehakiman ketika ini, firma guaman Shafee adalah yang memfailkan rayuan bagi pihak Najib.

Najib pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pertengahan 2018 dan kes SRC kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Susulan itu, hakim Mahkamah Tinggi Nazlan mempengerusikan perbicaraan yang bermula pada 2019, dan dia mensabit dan menjatuhkan hukuman kepada Najib pada Julai 2020.

Rayuan Najib di Mahkamah Rayuan dan kemudian Mahkamah Persekutuan telah ditolak.

[Baca berita asal]