OKU Sentral saran KKM wujud dasar penyakit jarang jumpa
Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mewujudkan Dasar Penyakit Jarang Jumpa bagi menjaga kebajikan dan penjagaan kesihatan komuniti penghidap penyakit itu.
Beliau berkata ia merangkumi dana sokongan kerajaan, penyelidikan jujukan genom, jumlah pakar genetik dan penyediaan fasiliti rawatan di hospital atau klinik pakar.
“Dalam pada itu, Perkhidmatan Ubat Genom atau dikenali sebagai Genomics Medicines Service (GMS) yang boleh menyepadukan teknologi genomik, termasuk penjujukan keseluruhan genom ke dalam penjagaan klinikal, harus diwujudkan.
“Kita harus memimpin dunia dalam penggunaan data dan teknologi untuk mencegah penyakit, bukan hanya merawatnya.
"Perkara seperti ini telah dilakukan dengan jayanya oleh United Kingdom,” katanya semasa sesi kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini.
Ras Adiba turut menggesa supaya Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) ditambah dan terdapat sekurang-kurangnya satu pusat itu di setiap daerah bagi mengatasi masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan.
“Peruntukan tambahan harus juga diberi bagi menambah baik fasiliti semasa pusat-pusat Mentari, selain meneliti semula cadangan terdahulu berkenaan penubuhan Institut Kesihatan Mental,” katanya.
Sementara itu, mengenai kertas putih yang disasar dibentangkan di parlimen pertengahan tahun ini, Ras Adiba meminta agar elemen penjagaan dan reformasi kesihatan OKU dimasukkan sebagai fokus utama.
Antara lain termasuk meneliti semula garis panduan caj pemeriksaan kesihatan bagi pengesahan ketidakupayaan OKU supaya caj RM100 di bawah Perintah Fi (Perubatan) 1982 dimansuhkan bagi menggalakkan individu OKU berdaftar secara sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya.
Beberapa lagi cadangan termasuk memperluas dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada golongan OKU, khususnya wanita kurang upaya serta menyediakan lebih ramai pengamal perubatan dan anggota kesihatan yang terlatih dalam bidang ketidakupayaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai