Upko cadang Sabah bentang RUU antilompat parti Mac ini
Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mencadangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dibentang segera pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dijadual Mac ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata beliau telah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta kerajaan negeri dan menurutnya cadangan itu penting bagi mewujudkan kestabilan politik di negeri ini.
Beliau berkata ia juga penting dalam memastikan Kerajaan Sabah yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri mampu berfungsi untuk penggal penuh bagi melaksana dengan berkesan pelan untuk membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat negeri ini.
"Ia (Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti) perlu dibentang dengan segera pada persidangan DUN akan datang Mac ini, dan sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan sekitar dua tahun akan datang.
“Kita di Sabah ini memerlukan kestabilan, jika tidak habis-habis tukar Ketua Menteri dan kerajaan negeri melalui SD (Akuan Bersumpah) sampai bila kita mahu dapat kestabilan untuk majukan Sabah dan rakyat," katanya kepada pemberita di Penampang, malam tadi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang itu ditemui selepas Malam Perpaduan UPKO yang turut dihadiri Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Semasa berucap dalam majlis itu, Ewon mahu semua “tompinai ko ngawi” terutama yang berjuang bersamanya dalam parti berkenaan untuk berani menegurnya apabila mula menerajui parti itu sebagai Presiden esok.
Beliau berkata 'tompinai ko ngawi' bermaksud “saudara ku” dalam bahasa Kadazandusun perlu menegurnya bagi memastikan hala tuju dibawanya untuk UPKO adalah pada landasan terbaik untuk parti dan rakyat Sabah terutamanya.
Malah, katanya anggota keluarga terutamanya ibunya Gobidah Gindai sentiasa memerhati dan menegur tindak tanduknya sebagai pemimpin dan mahu semua pihak menghakimi apa yang akan dilaksanakannya selepas selesai penggal presiden parti selama tiga tahun.
"Tompinai ko ngawi sekalian kita sama-sama majukan parti ini, kita sama-sama berjuang untuk negeri dan rakyat Sabah yang kita sayangi. Tanpa tompinai ko ngawi sekalian saya tidak akan dapat lakukan ini semua, kita lakukan semua ini bersama," katanya.
Ewon bakal mengambil alih jawatan Presiden UPKO secara rasmi daripada Madius pada Persidangan Tritahunan UPKO Ke-16 di sini esok selepas muncul sebagai calon tunggal jawatan itu, manakala Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, akan dilantik sebagai Presiden Kehormat UPKO.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai