Tiong tegur MP PAS cuba sekat penjualan alkohol
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing menegur ahli parlimen PAS, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berhubung usahanya untuk menyekat penjualan alkohol bersempena sambutan Tahun Baru Cina di sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang.
Tiong berkata Fawwaz harus menghentikan “budaya ekstremis” yang merugikan negara dan memusnahkan keharmonian masyarakat majmuk.
“Malaysia dikenali sebagai sebuah negara unik dengan masyarakat berbilang agama yang hidup aman dan harmoni.
“Ini tidak boleh dinafikan dan semua rakyat perlu mengakui dan berbangga dengan keistimewaan yang dimiliki Malaysia ini.
“Namun apa yang menyedihkan, dalam dunia yang semakin pantas menuju ke era tamadun digital demi kesejahteraan rakyat termasuk ekonomi, politik, budaya dan sosial, masih terdapat segelintir pihak yang mahukan negara dilihat mundur,” kata Tiong yang juga ahli parlimen Bintulu.
Dia berkata pelbagai perkara atau isu sensitif yang timbul di negara ini sering ditiupkan oleh segelintir kumpulan yang melakukan sesuatu hanya untuk kepentingan peribadi.
“Ini fenomena yang tidak sihat. Ia bukan sahaja menyebabkan negara kita dilihat jumud dan tidak mampu untuk maju, malah ia akan menjejaskan industri pelancongan negara,” katanya lagi.
Dia berkata Fawwaz sebagai ahli parlimen sepatutnya lebih memahami bahawa Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan agama, maka dia tidak seharusnya memperbesarkan isu berkaitan agama.
“Tambahan pula, isu ini sangat sensitif dalam kalangan masyarakat majmuk seperti Malaysia.
“Rakyat Malaysia sudah berpuluh tahun hidup harmoni dan bertolak ansur, jangan hancurkan dalam sekelip mata.
“Sekiranya setiap isu yang timbul dikaitkan dengan agama dan kaum, sudah tentu ia akan memberi tekanan kepada pelbagai sektor perindustrian dan turut menjejaskan tarikan pelancong bukan Islam ke negara ini.
“Tidak mustahil pelancong akan menganggap kita sebagai negara ekstrem jika kita terus bersikap seperti ini,” tambahnya.
Fawwaz, yang menamatkan penguasaan keluarga Perdana Menteri Anwar Ibrahim selama beberapa dekad di kerusi Permatang Pauh pada pilihan raya umum lalu, berkata dia telah menerima aduan daripada orang ramai mengenai promosi minuman beralkohol di Sunway Carnival Mall.
Semasa pertemuannya dengan pengurusan pusat beli-belah itu, ahli parlimen PAS itu berkata dia menyatakan "bantahan keras" terhadap promosi besar-besaran dan penjualan minuman beralkohol di kawasan lobi utama.
Tiong menegaskan bahawa Pulau Pinang merupakan destinasi pelancongan utama di negara kita.
“Kami mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun ke Pulau Pinang. Ramai pelancong asing datang ke Pulau Pinang untuk melancong, melawat tempat bersejarah dan menikmati masa lapang dengan 'minum' bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Justeru, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu mempertimbangkan semula isu ini dalam masa yang sama tidak membelakangkan kaum lain untuk mengekalkan keharmonian di negara ini,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai