Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hamzah terkejut Tok Mat kata kerjasama dengan DAP lebih baik dari PAS

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin menunjukkan reaksi terkejut terhadap kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bahawa kerjasama dengan DAP adalah lebih baik berbanding dengan PAS.

"(Kerajaan) yang ada sekarang karut-marut, semalam saya dengar timbalan presiden Umno buat ucapan. Masya-Allah dia boleh kata DAP lebih baik daripada PAS.

"Apa nak jadi kalau DAP lebih baik daripada PAS, Umno ini sudah tidak betul. Kalau dibandingkan PAS dengan DAP sudah tentulah pemimpin (PAS) yang kita ada ini (lebih baik).

"Rakyat sudah pasti tidak akan sokong mereka (Umno) yang kata kepimpinan DAP lebih baik daripada PAS," katanya merujuk ucapan Mohamad pada persidangan tahunan sayap-sayap Umno sempena perhimpunan agung parti itu, semalam.

Hamzah berkata demikian ketika menyampai ucapan pada majlis penyampaian bantuan pascabanjir PN di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Mohamad Hasan

Ucapan Mohamad yang dirujuk Hamzah itu berkaitan pengalaman Umno bekerjasama dengan DAP dan PAS.

Dia berkata DAP tidak berpura-pura dalam menjalinkan kerjasama dengan Umno berbanding PAS yang disifatkannya sebagai tidak ikhlas.

"Kita memang kenal pendirian mereka (DAP). Mereka juga faham pendirian kita. Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setia kawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura," katanya.

Berkenaan kerjasama dengan PAS pula, Mohamad berkata, "mereka tak pernah setia dan ikhlas, tanpa segan dan silu berselingkuh dengan semua parti, terutama 'janda' Umno (merujuk kepada Bersatu)".

Mengulas lanjut, Hamzah yang kini menjadi ketua pembangkang turut mendakwa betapa Mohamad tidak berpegang kepada kata-katanya untuk menentang sekiranya Umno mahu bekerjasama dengan PH selepas PRU15.

"Selepas sahaja keputusan pilihan raya dia (Mohamad) ada di rumah saya pagi Ahad. Apa yang dia sampaikan kepada saya adalah sekiranya presiden Umno (Zahid Hamidi) mahu bekerjasa dengan DAP dialah orang pertama yang akan menentang.

"Sebab itu apabila dia kata DAP lebih ikhlas daripada PAS, saya kata ini apa hal punya manusia ini," katanya pada sidang media selepas program berkenaan.