Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN l Umno umpama kutu dipelihara semut

ULASAN l Dalam taklimat menjelang Perhimpunan Agung Umno yang bermula semalam, ahli diseru optimistik ketika menghadapi cabaran. Izinkan saya membuat sedikit catatan mengenai parti tua itu.

Walaupun saya sudah keluar parti itu sejak 2015, namun saya masih ingat sejarah dan sumbangannya kepada negara kita, Malaysia.

Umno terpelanting daripada tampuk kuasa mulai pilihan raya umum 2018 bukan kerana orang Melayu suka-suka menolaknya atau tergila-gila menyokong Pakatan Harapan (PH).

Sebahagian orang Melayu, termasuk di kubu-kubu kuat Umno di kampung tradisional dan rancangan Felda sejak pilihan raya umum 2018 menolak Umno kerana tingkah laku buruk dan perbuatan jenayah pemimpin-pemimpinnya sendiri.

Mereka menolak Umno bukan kerana tarikan (pull factor) oleh pembangkang tetapi kerana tolakan (push factor) oleh Umno sendiri.

Faktor tolakan dari dalam akibat tingkah laku buruk dan perbuatan jenayah pemimpin Umno masih mendalam dan berterusan seperti terbukti dalam PRU Ke-15 November lalu.

Walaupun bekas presidennya, Najib Razak, telah didapati bersalah dan dipenjarakan, isterinya, Rosmah Mansor, didapati bersalah dan dihukum tetapi masih merayu, dan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, telah diperintah membela diri, namun keyakinan terhadap parti itu belum pulih.

Malah dengan adanya parti serpihan, Bersatu, yang bekerjasama dengan Pas, sokongan kepada Umno menjadi lebih buruk. Dalam PRU 19 November, calon Umno hanya memperoleh 13.55 peratus undi. Maksudnya, daripada setiap 100 orang Melayu yang megundi, hanya 13 orang pangkah calon Umno.

Daripada 109 kerusi yang dimenangi dalam PRU 2004, kehadiran Umno dalam Dewan Rakyat jatuh kepada 79 pada 2008, naik sikit kepada 88 pada 2013, jatuh semula kepada 54 pada 2018 dan sekarang tinggal 26 saja.

Ahli Umno boleh mengekalkan Ahmad Zahid serta pemimpin lain yang toksik dan Umno tidak akan mati. Cuma mungkin dalam keadaan hidup segan mati tak mahu.

Hal itu akan terjadi kerana PH sendiri, khususnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tidak mahu Umno mati. Mereka memerlukan Umno untuk mencukupkan bilangan bagi mengekalkan kerajaan campuran. Umno penting kepada PH kerana ia mewakili undi Melayu. PH tidak mempunyai parti Melayu yang cukup kuat setelah Bersatu menarik diri pada tahun 2020.

Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad jatuh apabila Bersatu menarik dari. Kerajaan campuran Anwar boleh mengalami hal yang sama jika Umno menarik diri.

Tetapi dengan kekuatan Umno yang ada sekarang, kedudukannya dalam kerajaan campuran bolehlah diibaratkan umpama afid (kutu tumbuh-tumbuhan) yang dipelihara oleh semut. Atau Umno boleh mengukuhkan semula organisasinya dengan memilih barisan kepemimpinan yang diyakini dan, seperti dirumuskan oleh Khairy Jamaluddin, menjalin persefahaman jangka panjang dengan PH.

Dalam erti kata lain, Umno menjadi parti Melayu dalam PH. Kata Khairy, kalau dia ketuai Umno, itulah yang akan dia lakukan.

Musuh dan saingan Umno bukan lagi PH tetapi Perikatan Nasional (PN) dan pemimpin-pemimpinnya sendiri yang toksik.


A KADIR JASIN ialah Tokoh Wartawan Negara dan bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Artikel ini asalnya disiarkan di Facebook penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.