Umno kecundang dek perang kognitif PN, kata Mohamad
PAU 2022 | Umno kalah teruk dalam PRU lalu kerana parti itu menjadi mangsa "cognitive war" yang dimainkan pihak lawan khususnya PN, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
Dakwa Mohamad PN membelanja ratusan juta ringgit bagi menjayakan perang kognitif itu khususnya untuk mempengaruhi pengundi muda dengan menggunakan media sosial.
"Cognitive war yang dilancarkan oleh lawan kita, secara konsisten menggunakan ruang maya sebagai lubuk untuk menanam sentimen jahat terhadap Umno.
"Bahawa Umno itu rasuah, Umno itu kotor, gila kuasa, dan segala kata nista, yang menjengkelkan.
"Tidak cukup dengan itu, mereka melabel, pemimpin kita (sebagai) kleptokrat, tidak bermoral, dan segala macam lagi tohmahan lain yang mampu mencemar kepimpinan kita.
"Semuanya disampaikan, dalam pelbagai bentuk grafik, video, dan banyak lagi naratif lain. Dipancar, dan disebar, luaskan melalui platform Tik Tok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan Twitter," katanya.
Motif mereka, kata menteri pertahanan itu, adalah untuk mempengaruhi pemikiran dan mengubah keyakinan masyarakat - khususnya pengundi Melayu - bahawa Umno itu tidak layak menjadi wakil mereka.
Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan perhimpunan sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, malam ini.
PRU ke-15 lalu menyaksikan Umno mencatat pencapaian terburuk dalam sejarah pilihan raya di negara ini apabila hanya memenangi 30 daripada 222 keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
Malah, Umno turut kehilangan banyak kerusi di kawasan yang selama ini dianggap selamat serta majoriti orang Melayu termasuk kawasan Felda.
Keputusan PRU lalu menunjukkan sokongan majoriti pengundi Melayu khususnya orang muda beralih kepada PN yang ditunjangi Bersatu dan PAS.
Mohamad berkata perang kognitif yang dibawa pihak lawan sehari demi sehari menjadi keyakinan rakyat bahawa Umno sinonim dengan segala kecurangan dalam politik.
"Ternyata, strategi perang kognitif mereka sangat berjaya. Tsunami Melayu melanda utara, dan pantai timur semenanjung, dengan pengundi Melayu berduyun-duyun menolak Umno," katanya lagi.
Dalam pada itu Mohamad berkata dalam membangunkan semula Umno sebagai parti yang berwibawa dan diyakini, mereka perlu mencari pendekatan "luar biasa".
Umno katannya perlu melakukan perkara di luar kelaziman yang memerlukan kecerdasan baru dan bukan lagi naratif dan slogan kosong.
"Oleh yang demikian, jangan risau, jangan gundah dan terkejut jika ada ikhtiar yang akan parti umumkan (kemudian) sangat asing dan di luar kebiasaan kita.
"Ingatlah, orang Melayu boleh hidup tanpa Umno. Tetapi, Orang Melayu tidak boleh berkehidupan, tanpa Islam, tanpa ilmu, tanpa kemajuan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai