DAP dan parti nyamuk Warisan jangan meracau - Roslan SMS
DAP sepatutnya belajar daripada PAS tentang cara menentang sesuatu isu secara "damai dan sivil", kata seorang pemimpin PAS.
Menurut Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahrir Mohd Shahrir, ahli parlimen parti itu bagi Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan hanya bertindak dalam skop tugasnya sebagai wakil rakyat apabila membantah penjualan minuman beralkohol di sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang baru-baru ini.
"DAP dan Parti Warisan (yang kalah disemua kerusi yang ditandinginya) Pulau Pinang mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan telah bertindak melampau apabila berkunjung ke Sunway Carnival Mall Butterworth baru-baru ini atas alasan mahu berunding dengan pihak pengurusan berkenaan promosi jualan arak di premis Mall berkenaan.
"Mengapa pula seorang ahli parlimen yang diangkat oleh rakyat tidak boleh menjalankan tugasnya mewakili suara rakyat?
"Fawwaz sendiri menyatakan yang beliau menerima aduan dari pengunjung Muslim yang tidak selesa dengan promosi arak secara besar-besaran di premis berkenaan," kata Roslan pada satu kenyataan.
Dia menjawab kenyataan Adun Pengkalan Kota DAP Daniel Gooi bahawa Fawwaz tidak sepatutnya menjadi "polis moral" untuk menentang promosi arak itu, yang jelas ditujukan kepada bukan Islam untuk sambutan Tahun Baru Cina akan datang.
Secara berasingan, Pengerusi Warisan Pulau Pinang Jeff Ooi Chuan juga dipetik memberitahu media bahawa bukan tugas seorang ahli parlimen untuk campur tangan dalam perkara sedemikian.
Mengulas lanjut, Roslan menyoal mengapa DAP dan Warisan meletupkan isu itu sedangkan pengurusan pusat beli-belah itu telah "duduk berbincang secara harmoni" dengan Fawwaz.
"YB (Fawwaz) bukannya melarang atau menghalang promosi arak kepada bukan Muslim cuma beliau minta agar diadakan beberapa pengubahsiaian kerana Mall itu juga dikunjungi masyarakat Islam.
"Syabas YB kerana mengambil pendekatan berunding dan bersungguh membawa suara rakyat yang diwakilinya.
"DAP dan parti nyamuk seperti Warisan janganlah panas dan meracau apabila Ahli Parlimen yang dipilih oleh suara rakyat menjalankan tugasnya,” kata Roslan.
'Memalukan, pengecut'
Sementara itu, perbuatan Fawwaz itu terus mengundang kritikan termasuk pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang dan P Ramasamy.
Lim berkata menyedihkan apabila selepas enam dekad membina negara, masih ada pihak yang cuba untuk menjadi “polis moral” terhadap orang lain.
Keluhnya, keadaan ini berpunca daripada penyakit “Malaysiafobia” – satu perasan syak wasangka dan fobia terhadap idea Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk dengan kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budayanya.
"Kerana “Malaysiafobia” inilah Wawasan 2020 telah gagal.
"Ada yang mengatakan promosi minuman beralkohol adalah satu perkara yang bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang kelima, Kesopanan dan Kesusilaan, tetapi adakah para pemimpin PAS, yang diketuai Hadi Awang, menerima dan menyokong kelima-lima prinsip Rukun Negara, terutamanya prinsip ketiga mengenai Keluhuran Perlembagaan," soalnya pada satu kenyataan hari ini.
Secara berasingan, Ramasamy menggelar tindakan Fawwaz ke pusat beli-belah itu sebagai "tindakan yang memalukan dan pengecut".
“Gelombang hijau PAS seolah-olah tidak memahami watak negara yang berbilang kaum dan agama.
"Ia hanya memenuhi versi toksik tertentu ideologi politik PAS," katanya sambil menyatakan sebagai wakil rakyat Fawwaz tidak perlu berbuat demikian.
Ini terutamanya apabila promosi dan penjualan arak di pusat beli-belah itu dilakukan berdasarkan peraturan kerajaan tempatan dan undang-undang, katanya.
“Ternyata Fawwaz yang baru dipilih mahu menunjukkan kepahlawanannya menentang promosi alkohol untuk terus menggelorakan gelombang hijau.
"Tidakkah ada cara yang lebih baik untuk mempromosikan PAS dan bukannya dengan mengorbankan (kepentingan dan budaya) orang bukan Islam," soalnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai