ULASAN l Jangan perkecil ancaman bunuh
ULASAN l Sejak akhir-akhir ini, apabila menulis dan bercakap saya kerap berkata, saya harap media massa arus perdana tersalah lapor atau tersilap faham.
Seolah-olahnya saya tidak percaya lagi kepada ketepatan dan kemahiran wartawan media arus perdana. Bukan begitu tetapi disebabkan oleh banyak sangat berita luar biasa dan buruk yang mereka laporkan seolah-olah Malaysia ini sudah jadi "murder capital of the world" (ibu negara pembunuhan dunia).
Yang terbaru adalah berita mengenai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mendedahkan ancaman bunuh ke atas beliau dan tindakan menakut-nakutkan badan kehakiman dalam kes membabitkan tokoh politik.
Tengku Maimun dilaporkan berkata, percubaan menakut-nakutkan dan memberi tekanan kepada hakim yang mendengar kes berkepentingan awam menjadi semakin ketara tahun lalu.
Komen-komen yang dibuat mengenai kehakiman juga agak keterlaluan, berat sebelah, tidak objektif dan berbau politik.
Ancaman bunuh ke atas hakim dan sesiapa sekali pun adalah perbuatan salah yang perlu dikenakan tindakan tegas. Setidak-tidaknya dengan menaikkan tahap perlindungan ke atas anggota kehakiman dan mengawasi pihak-pihak yang membuat ancaman.
Antara tokoh politik yang telah dan sedang dibicarakan adalah Najib Razak dan salah seorang timbalan perdana menteri kerajaan campuran Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Zahid Hamidi. Turut diadili, isteri Najib, Rosmah Mansor.
Kemungkinan ancaman seperti ini bertukar menjadi kenyataan tidak boleh dipandang remeh. Sekarang bom buatan sendiri boleh dihasilkan dengan menonton YouTube.
Sejarah juga telah membuktikan bagaimana hal-hal peribadi yang yang membabitkan orang kenamaan telah meledak menjadi kes pembunuhan yang melibatkan anggota pasukan keselamatan.
Pada 16 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengarahkan kerajaan Malaysia serta tiga yang lain membayar ganti rugi RM5 juta kepada keluarga bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, atas kematiannya (melalui pembunuhan) pada 2006.
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusannya telah membenarkan saman ke atas dua orang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, selain bekas penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia.
Ini belum lagi diambil kira kes-kes bunuh yang boleh dikatakan berlaku setiap dua atau tiga hari sekali di merata pelosok negara. Pada tahun 1997, apabila mendiang Lee Kuan Yew berkata, "Johor notorious for shootings, muggings and carjackings" (Johor terkenal dengan tembak menembak, pukul dan rampasan kereta) satu Malaysia melenting. Dia kemudian meminta maaf.
Malangnya, hari ini satu Malaysia menderita keadaan seperti yang disebutkan itu.
A KADIR JASIN ialah Tokoh Wartawan Negara dan bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Artikel ini asalnya disiarkan di Facebook penulis.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai