Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Isu tanah Kg Sungai Baru dalam perhatian PM'

Isu penduduk Kampung Sungai Baru yang menerima notis pengusiran daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) pada 19 Disember 2022 kini dalam perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Setiusaha politiknya, Azman Abidin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kes ini masih dalam perhatian PM. Saya akan maklumkan (perkembangan seterusnya) seberapa segera," katanya ringkas.

Dua hari lalu, penduduk Kampung Sungai Baru meminta Anwar campur tangan dalam perkara itu setelah mereka dipaksa mengosongkan rumah sebelum 19 Januari ini, iaitu dalam tempoh 30 hari selepas surat PTGWPKL dikeluarkan.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Pada 21 Jun 2021 lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun, penduduk terutama penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan oleh PTGWPKL.

Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.

Susulan itu, pada 19 Disember penduduk menerima notis pengusiran 30 hari.

Namun, penduduk menerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kampung Sungai Baru meminta pelanjutan masa setelah mendakwa masih ada yang belum menerima pampasan antaranya kerana tempoh yang diberikan terlalu singkat.

Jawatankuasa juga mendakwa, ada penduduk yang diberi pampasan dan ada pula yang tidak menerima sebarang bayaran daripada pemaju.