Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Isteri wartawan Pakistan mohon lanjutan visa

Isteri kepada wartawan penyiasatan Pakistan Syed Fawad Ali Shah yang telah dihantar pulang ke negara asalnya selepas menghabiskan sedekad dalam buangan di Malaysia sedang memohon dilanjutkan tempoh tinggalnya di sini.

Menurut pejabat peguamnya P Waytha Moorthy, tempoh lanjutan Syeda adalah penting untuk mengetahui kebenaran tentang keberadaan suaminya, serta untuk memutuskan tindakan seterusnya.

Pasukan guaman Waytha berkata mereka telah menulis surat kepada Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud, memohon lanjutan tempoh tinggalnya pada 6 Jan dan memberi jabatan itu sehingga 14 Jan untuk mengesahkan keputusan mereka.

"Jika ini gagal, pasukan undang-undang akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ketua pengarah kerana kegagalannya menjalankan tugasnya bagi menjamin hak warga asing mendapatkan kebenaran berada di Malaysia bagi tujuan suatu tindakan undang-undang," katanya pada satu kenyataan.

Belum dihadap ke mahkamah

Menurut kenyataan pasukan peguam itu lagi, pihaknya juga telah menghubungi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan dan Majlis Peguam Pakistan untuk mendapatkan bantuan berhubung perkara itu.

Syed Fawad masih belum lagi dihadapkan ke mana-mana mahkamah di negara asalnya walaupun diekstradisi dan ini menimbulkan kebimbangan yang serius, kata peguam lagi.

"Pasukan undang-undang kami akan berkomunikasi dengan jabatan yang diperlukan di Malaysia, serta mendapatkan bantuan daripada jaringan undang-undang dan suruhanjaya hak asasi manusia di Pakistan.

"Apa yang penting sekarang ialah keselamatan Syed Fawad."

Bulan lalu, Syeda merayu bantuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengesan suaminya, yang hilang sejak 23 Ogos tahun lalu.

Syed Fawad, 41, dilaporkan terkenal kerana menyiasat rasuah kerajaan dan orang hilang melalui beberapa akhbar harian Inggeris di negara asalnya.

Dia telah tinggal dalam buangan di Malaysia selama lebih 10 tahun kerana melarikan diri daripada pendakwaan di Pakistan dan dikatakan pemegang kad UNHCR.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Syed Fawad telah dihantar pulang ke Pakistan Ogos lalu atas permintaan kerajaan Pakistan.

[Baca berita asal]