Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Makna 10,000 tanglung di Jalan Raja Uda 

Majlis menyalakan 10,000 tanglung sutera merah di Butterworth, bukan sahaja penting kerana Jalan Raja Uda adalah satu-satunya jalan di Malaysia–dan mungkin di dunia–yang ada 10,000 tanglung untuk menyambut kedatangan Tahun Baru Cina dua minggu lagi.

Tetapi acara ini juga menandakan berakhirnya pandemik Covid-19 dan bermulanya usaha untuk menetapkan semula hala tuju negara supaya semua rakyat Malaysia di seluruh dunia dapat berbangga menjadi anak Malaysia. 

Selama hampir tiga minggu sejak 17 Disember 2022, kita mencatatkan kes dan kematian akibat Covid-19 dalam julat tiga dan satu angka – jauh berbeza dengan apa yang disaksikan semasa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pintu belakang pada Ogos 2021.

Ketika itu kita mencatatkan kes harian dan kematian akibat Covid-19 dalam julat lima dan tiga angka.

Marilah kita sama-sama doakan supaya jumlah kes harian akan turun kepada julat dua angka sebelum sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, dengan lebih banyak hari dengan sifar kematian.

Kini, kita ada kerajaan Persekutuan baharu dengan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Kerajaan Perpaduan.

Majlis malam itu adalah petanda untuk mengalu-alukan kedatangan era baharu, yang rakyat dalam dan luar negara berbangga sebagai anak Malaysia dan tidak lagi malu kerana Malaysia dikaitkan dengan kleptokrasi dan salah guna kuasa sebelum ini. 

Malaysia memerlukan penetapan semula dasar pembinaan negara dan kita perlu belajar daripada kesilapan lepas yang memesongkan kita dari prinsip-prinsip asas pembinaan negara bangsa oleh tokoh kemerdekaan negara.

Pemesongan ini menyebabkan kita gagal mencapai Wawasan 2020 untuk mencipta sebuah Bangsa Malaysia dengan masyarakat yang majmuk, berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya – untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan negara berjaya di dunia. 

Kerana itulah majlis penyalaan 10,000 tanglung sutera merah di Jalan Raja Uda ini amat bermakna dalam menandakan kedatangan permulaan baharu untuk Malaysia. 

Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat – dan kita perlu manfaatkan nilai-nilai terbaik dari keempat-empat tamadun ini untuk membina sebuah negara hebat yang bertaraf dunia. 

Kita perlu ambil pengajaran dan nilai-nilai yang terbaik dari keempat-empat tamadun ini dan bukannya perkara-perkara yang tidak baik untuk membina sebuah Malaysia yang dapat dibanggakan oleh kita semua. 


LIM KIT SIANG ialah ahli politik veteran DAP. Ulasan ini disesuaikan daripada ucapannya semalam, dalam majlis “Menyalakan 10,000 Tanglung Sutera Merah” di Jalan Raja Uda, Butterworth menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.