Anwar terima sambutan rasmi di Istana Presiden Indonesia
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, hari ini mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Istana Kepresidenan Bogor.
Sejurus tiba di kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi presiden pada hari kedua lawatan, beliau dengan tradisi bersongkok yang sering dipakai untuk menghadiri acara tertentu demi martabatkan budaya, diberikan sambutan karpet merah oleh Jokowi.
Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan tembakan meriam, sebelum Anwar sambil diiringi Jokowi memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan presiden.
Perdana menteri kemudian diperkenalkan dengan menteri kabinet Indonesia, diikuti upacara menanam pokok jenis merawan (hopea odorata) di halaman belakang, dan melawat kawasan istana, sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan agenda perbincangan.
Anwar diiringi Menteri Luar Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd Shaffieq.
Kedua-dua pemimpin dijangka berbincang dan menilai kerjasama dua hala selain meneroka peluang kerjasama baharu.
Semalam, Anwar berkata ada 12 perkara yang disenarai untuk dibincangkan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai