Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri: Contohi akhlak nabi, hindar bahasa kesat, fitnah di media sosial

Bahasa menunjukkan bangsa. Peribahasa Melayu yang ringkas namun membawa maksud mendalam, iaitu bahasa dan tutur kata bukan sahaja mencerminkan keperibadian seseorang individu tetapi juga bangsanya.

Bahasa juga peranti perpaduan, terutama di sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia ini.

Islam sendiri amat menuntut umatnya mengamalkan kesantunan dalam berbahasa agar setiap ilmu dan maklumat yang disampaikan dapat terus ke sanubari penerima. Malah, kesantunan berbahasa juga adalah sebahagian kaedah berdakwah yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Malangnya, mutakhir ini aspek kesantunan berbahasa bagaikan sudah luput dalam kalangan ahli masyarakat Islam di negara ini, terutama apabila di alam maya. Platform media sosial menjadi medan caci maki, hamburan kata-kata kesat malah pembohongan serta fitnah.

Pupuk akhlak Rasulullah dalam diri

Mengulas isu itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Naím Mokhtar berkata budaya berbahasa kesat serta fitnah di alam siber harus ditangani segera agar tidak terus membarah dan menjangkiti generasi akan datang.

Menurutnya, cara terbaik ialah memupuk akhlak mulia Nabi Muhammad SAW dalam diri sendiri seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang umumnya bermaksud Rasulullah adalah ikutan terbaik bagi orang yang inginkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak.

Jelas beliau lagi, dari segi logiknya juga orang akan menjauhi kita sekiranya kita bersikap keras dan berhati kasar yang dicerminkan menerusi penggunaan bahasa yang kesat.

“Dalam hidup bermasyarakat, ada satu perkara asas yang perlu kita semua fahami dan praktikkan, iaitu memahami orang lain terlebih dahulu sebelum orang lain memahami kita. Allah kurniakan negara ini sebuah nikmat yang mungkin tidak ada di negara lain, iaitu wujud pelbagai kaum dan agama, dan kita perlu menginsafinya dan terus berusaha untuk belajar adat dan budaya orang.

“Apabila kita duduk dalam lingkungan masyarakat yang unik seperti ini, mahu tidak mahu situasi ‘public engagement’ itu akan tetap berlaku pada bila-bila masa, dan ini memerlukan kita membuktikan bahawa Islam itu agama yang mementingkan perpaduan dan orang yang bukan Islam akhirnya dapat melihat sendiri keindahan Islam melalui kecantikan akhlak kita,” jelasnya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Ingat dosa kering

Menurut Mohd Na’im, umat Islam juga perlu mengingatkan diri mereka bahawa sebarang kata-kata kesat atau bersifat fitnah yang ditularkan di laman sosial akan terus menjadi sumber dosa kepada penulisnya setiap kali kenyataan itu dikongsikan oleh orang lain.

“Apabila kita menyebarkan sesuatu mengenai seseorang tanpa kita usul periksa terlebih dahulu, ditakuti ia maklumat tidak benar dan akhirnya boleh merosakkan nama baik dan kredibiliti insan yang difitnah sepanjang hidupnya.

“Tanya diri kita sendiri ketika menggunakan media sosial, apa niat utama kita… adakah semata-mata inginkan banyak ‘like’ dan tambah jumlah pengikut? Ini tidak betul kerana agama Islam menekankan agar kita sentiasa melakukan tabayyun (pemeriksaan rapi) terhadap sesuatu maklumat sebelum kita menyebarkannya kepada orang lain.

“Cuba bayangkan jika apa yang kita sebarkan itu sebenarnya hanyalah fitnah, tidak terbukti kesahihannya, dikhuatiri kita mungkin terpaksa menanggung dosa kering ini selagi berita itu terus dikongsi oleh pengguna media sosial yang lain,” ujarnya.

Fitnah media sosial

Sementara itu, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia Dr Faizal Kasmani berkata masih ramai kurang memahami makna sebenar fitnah disebabkan kecetekan ilmu selain tidak memikirkan kesan jangka panjang terhadap orang yang difitnah.

Menurutnya, sebarang maklumat di media sosial secara asasnya adalah pandangan atau idea yang tidak disaring.

“Ia lebih kepada pandangan dan maklumat daripada kaca mata individu, dan setiap ahli masyarakat perlu melaksanakan proses tabayyun dengan menyemak kesahihannya sebelum ia disebarkan.

“Secara umumnya, fitnah, sama ada secara libel atau slander, merujuk kepada perbuatan bertulis dan visual; serta lisan termasuk di media sosial yang merendahkan diri seseorang di mata orang lain, menyebabkan seseorang tersebut dicemuh, dihina dan dibenci.

“Oleh itu, sebagai pengguna media sosial, kita perlu sentiasa skeptikal dan bertanya siapakah pemberi atau sumber maklumat? Adakah ia sahih? Adakah sumber maklumat boleh dipercayai? Mengapa maklumat itu perlu dikongsi? Adakah ia berbentuk fitnah sehingga boleh menjejaskan kredibiliti seseorang?” katanya.

Faizal menambah masyarakat juga pada masa sama boleh menyemak maklumat di media sosial dengan berita yang dilaporkan oleh organisasi media yang dipercayai.

“Jika seseorang itu tidak melakukan tabayyun dan membuat fitnah secara semberono, mereka boleh didakwa di mahkamah sivil di bawah Akta Fitnah 1957 dengan si pelaku yang didapati bersalah boleh dikenakan bayaran ganti rugi khas.

“Satu lagi hukuman ialah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan sebagai kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

-Bernama