Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Waktu saya tersisih, Indonesia terima saya sebagai sahabat sejati - Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia memilih Indonesia untuk melakukan lawatan sulung selepas dilantik sebagai perdana menteri kerana hubungan yang akrab dengan negara itu.

Katanya, ia juga sebagai tanda penghargaan terhadap layanan yang diberikan Indonesia ketika dia dipecat daripada kerajaan suatu ketika dulu.

Bercakap kepada media tempatan di Grand Hyatt Hotel, Jakarta, Anwar mengakui hubungan rapat dengan negara jiran itu terjalin sejak sekian lama.

“Indonesia jiran serumpun, persahabatan baik, sahabat sejati dalam keadaan saya itu terlempar, terbuang, tersisih, Indonesia terima saya sebagai sahabat sejati.

“Jadi saya tidak melupakan.

“Sebab itu kita berikan prioritias hubungan bilateral dengan Indonesia,” kata Anwar menyorot anekdot sejarah reformasi dan kebangkitan Indonesia dari zaman presiden pertama republik itu, Soekarno.

Anwar disingkirkan pada 1998 ketika memangku jawatan timbalan perdana menteri oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Gerakan reformasi yang kemudian melahirkan PKR untuk menuntut keadilan terhadap Anwar, turut diilhamkan daripada gelombang serupa di Indonesia yang menyaksikan kejatuhan presiden Soeharto selepas beberapa dekad berkuasa.

Anwar yang didakwa melakukan kesalahan liwat bagaimanapun disabitkan bersalah dan dipenjarakan.

Selepas dibebaskan dari penjara, Anwar mengekalkan hubungan rapat dengan ramai tokoh politik Indonesia, termasuk bekas presiden Bacharuddin Jusuf Habibie, yang disifatkannya sebagai keluarga sendiri.

Mengenai pertemuan yang dijadualkan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden esok, Anwar berkata terdapat 12 perkara dalam agenda untuk dibincangkan.