Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU: Umno tak jemput PKR, DAP bukan sebab 'tak kawan' - Ahmad Maslan

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan memaklumkan parti itu tidak bercadang untuk menjemput wakil daripada PKR dan DAP menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan Rabu depan.

Dia berkata, pucuk pimpinan parti juga tidak menjemput perwakilan duta asing seperti mana yang dilakukan dalam PAU sebelum ini.

"Kami buat keputusan bahawa PAU kali ini adalah hanya antara parti-parti Barisan Nasional (BN), kami ingin menyelesaikan perkara-perkara yang berkait dengan keputusan dalaman Umno dan BN.

"Oleh itu bukan hanya parti-parti lain kita tidak jemput tetapi duta-duta asing pun kita tidak jemput, tahun sudah kita jemput, tahun ini kita tidak jemput maka setakat ini itulah keputusan, kecuali berubah sehari dua lagi," katanya.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan menjemput wakil PKR dan DAP berikutan mereka kini berada dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu dia yang juga Timbalan Menteri Kewangan mengadakan taklimat tertutup isu semasa bersama perwakilan Umno Pahang di Kuantan.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Dia menambah keputusan sehingga ketika ini ialah hanya wakil daripada parti komponen BN selain perwakilan Umno sedia ada sahaja dijemput menghadiri PAU kali ini.

"Ini bukan bermakna kita tak kawan, jangan nanti tulis retak menanti belah, jangan memandai-mandai.

"Seperti mana yang saya sebut tadi, kita nak menumpukan isu-isu dalaman parti, muhasabah dan sebagainya, itu sebab pada pandangan kami, pada saat dan ketika ini kita belum membuka perhimpunan agung Umno kepada (wakil) daripada parti yang lain," katanya lagi.

‘Langkah London cuma spekulasi’

Sementara itu, ketika ditanya mengenai khabar angin berkaitan 'Langkah London' yang sedang diperkatakan sejak beberapa minggu lalu, Ahmad berkata dia tidak mengetahui setakat mana kebenaran mengenai perkara terbabit.

"Saya tidak tahu setakat mana benar atau tidak 'Langkah London' ini sebab ramai orang bercuti di London lepas tu dia orang tiba-tiba duduk (bersama), tak semestinya perkara itu ada langkah-langkah tertentu.

"Langkah London ini spekulasi, saya tidak ada rekod bahawa ada pihak-pihak tertentu yang betul membuat mesyuarat sebab kalau mereka nak mesyuarat, mereka boleh mesyuarat di mana-mana, apa hal jauh sangat.

"Jadi kebetulan cuti, saya rasa, takkan tak boleh berjumpa minum kopi. Jadi jangan risau sangatlah bab-bab begitu," katanya.

Mengulas mengenai pergolakan politik di Sabah pula, dia berkata perkara itu akan diuruskan kemudian kerana situasi yang berlaku di negeri berkenaan sentiasa berubah hampir setiap jam.

"Sabah ni kita tunggu dan lihat, perubahannya itu setiap jam (berlaku), jadi kita tunggu dan lihat apa perkembangan seterusnya," katanya.