Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM tiba di Jakarta untuk lawatan rasmi pertama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta, Indonesia bagi memulakan lawatan rasmi ke negara jiran itu.

Anwar dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada 1.57 petang waktu tempatan dengan menaiki pesawat khas, di mana mereka kemudian disambut Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir.

Turut hadir Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, November lalu.

Setibanya di Hotel Grand Hyatt Jakarta, perdana menteri disambut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan pegawai Kementerian Luar serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dalam lawatan selama dua hari itu, Anwar bakal menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan Indonesia.

Antara syarikat utama Malaysia yang terlibat termasuk FGV Holdings Bhd dan Airod Bhd.

Majlis itu akan berlangsung di Hotel Grand Hyatt Jakarta petang ini, diikuti majlis makan malam anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Perjanjian itu melibatkan pemain utama dalam pelbagai sektor utama termasuk perladangan dan pembangunan infrastruktur.

Sebanyak 12 syarikat Malaysia akan menyerahkan surat hasrat (LOI) untuk terlibat dalam pembangunan Nusantara, ibu kota baru Indonesia di Kalimantan.

Anwar dan delegasi Malaysia dijadual bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Presiden di Bogor esok, di mana kedua-dua pemimpin berkenaan dijangka menyampaikan ucapan bersama.