Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ramai penumpang bas PJ tak reti imbas kod QR

Mulai Januari, pengguna perkhidmatan PJ City Bus diwajibkan mengimbas kod QR ketika menaiki pengangkutan awam tersebut.

Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan penumpang perlu memuat turun aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) untuk menggunakan sistem ‘Scan To Ride’.

Bagaimanapun tinjauan Malaysiakini mendapati ramai penumpang tidak berbuat demikian walaupun setiap stesen bas memaparkan poster yang menerangkan cara mengimbas kod QR berkenaan.

Perkara itu disahkan salah seorang pemandu bas, Zulkifli Abdul Samad yang berpendapat kebanyakan penumpang mungkin tidak mahir menggunakan aplikasi berkenaan.

“Tak ramai, ada dalam lima atau enam orang daripada kebanyakan mereka yang menaiki bas (pada satu-satu masa).

“Mungkin mereka tak berapa reti nak guna aplikasi tu. Ada juga yang minta ajar cara nak guna,” ujarnya.

Seorang penumpang warga asing, Rosanty Rono Sentono, 55, pula memberi alasan tidak mengimbas kod QR disebabkan fungsi kameranya yang bermasalah.

“Adik saya imbas kod QR semalam boleh, tapi tadi saya buat tak boleh, kamera tak nampak," katanya mengakui tidak tahu tarikh sebenar pelaksanaan amalan tersebut.

Sementara itu, penumpang yang hanya ingin dikenali sebagai Anita juga menjelaskan tidak mengimbas kod QR kerana tidak tahu tarikh sebenar pelaksanaannya.

Pada 29 Dis 2022, MBPJ memaklumkan semua penumpang Bas PJ City yang berumur antara 18 dan 59 tahun perlu mengimbas kod QR berkenaan.

Penumpang di bawah umur 18 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas pula tidak diwajibkan berbuat demikian dan hanya dikehendaki menunjukkan kad pengenalan atau pasport mereka.

Bagi penumpang bukan warganegara, mereka dikenakan bayaran sebanyak 90sen mulai 15 Januari.

Langkah itu mendapat kritikan sesetengah pihak yang berpendapat amalan itu bersifat diskriminasi terhadap warga asing.

Bagaimanapun beberapa Adun di Selangor mempertahankan tambang yang diperkenalkan kepada warga asing dengan mengatakan ia bertujuan memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia, sama seperti operasi sekolah dan hospital kerajaan.