Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KKM perkenal 'label ubat mesra OKU’ dengan cetakan Braille

Malaysia menjadi antara negara terawal di Asia yang melancarkan inisiatif 'label ubat mesra OKU penglihatan' yang dicetak dalam tulisan Braille.

Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di ibu pejabat kementerian di Putrajaya hari ini.

“Sukacita saya umumkan hari ini bahawa Kementerian Kesihatan akan melancarkan inisiatif baharu yang sangat praktikal iaitu label ubat mesra cacat penglihatan yang akan dicetak dalam Braille.

"Label ini adalah untuk memudahkan mereka yang cacat penglihatan mendapatkan bukan sahaja maklumat yang cepat tetapi tepat mengenai ubat dan preskripsi mereka," kata Zaliha dalam  Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM.

Menteri itu berkata, buat permulaan, inisiatif ini akan dilaksanakan di 250 klinik kesihatan di seluruh negara yang akan memanfaatkan seramai 55,000 OKU penglihatan.

"Ia bagi menjelaskan cara pengambilan atau dos ubat (misalnya dua biji ubat, tiga kali sehari).

"Selain itu label ini turut mempunyai indikasi ubat yang menerangkan kegunaan ubat (contoh demam, batuk atau selesema," katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah memulakan inisiatif Label Ubat Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan bagi membantu golongan itu dalam urusan pengambilan ubat di fasiliti kesihatan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata label itu diwujudkan bagi memudahkan OKU penglihatan mendapat maklumat mengenai ubat dan preskripsi  secara cepat dan tepat.

“Label ubat yang diberikan kepada pesakit OKU penglihatan akan mempunyai tulisan Braille bagi menjelaskan cara pengambilan atau dos seperti dua atau tiga biji sehari. 

“Label tersebut turut mempunyai indikasi yang menerangkan kegunaan ubat seperti demam, batuk atau selesema,” katanya pada majlis pelancaran inisiatif berkenaan sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Putrajayai, hari ini.

Beliau berkata seramai 55,000 OKU penglihatan bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif tersebut yang akan dilaksanakan di 250 klinik kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata inisiatif tersebut juga merupakan peluasan kepada Program Kenali Ubat Anda bagi menyokong Malaysian Patient Safety Goals 2.0 di bawah Medication Safety: Medication Without Harm.

Menurutnya, Malaysia merupakan antara negara terawal di rantau Asia melaksanakan inisiatif berkenaan, yang turut mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan untuk memastikan OKU penglihatan mendapat hak menerima maklumat tepat dalam urusan pengambilan ubat secara selamat. 

Pelaksanaan inisiatif itu juga dapat meningkatkan imej negara di persada antarabangsa selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak OKU dan Akta Orang Kurang Upaya 2008, katanya.