Kes amah meninggal dunia: Ibu Adelina akan saman keluarga bekas majikan
Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang memutuskan untuk memudah cara bagi pemfailan saman terhadap keluarga yang menjadi majikan kepada pembantu rumah, Adelina Lisao yang meninggal dunia pada Februari 2018.
Bambang Suharto berkata saman akan difailkan di Mahkamah Tinggi George Town bagi pihak ibu Adelina.
Pada Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk membebaskan majikan adelina, Ambika MA Shanmugam, 69, yang dibuat Mahkamah Tinggi.
"Hakikatnya kes ini tidak dibicarakan sepenuhnya apabila timbalan pendakwa raya memutuskan untuk memohon agar defendan dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA).
"Perbicaraan masih di peringkat awal di Mahkamah Tinggi dan kami merasakan yang tidak dilaksanakan sepenuhnya," kata Bambang.
Menurut Bambang, ibu Adelina diterbangkan dari Kupang, Nusa Tenggara Timur ke Jakarta bagi menandatangani surat pentadbiran di Kedutaan Malaysia agar dia tidak perlu datang ke Malaysia untuk berbuat demikian.
Ambika didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan.
Anaknya, Jayavartiny Ramalue, 37, pula didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, kerana mengambil pekerja tanpa dokumen. Dia turut dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Kes tersebut mengundang perhatian banyak pihak dengan Adelina dilaporkan Ldiselamatkan dari rumah majikannya di Pulau Pinang pada 10 Februari 2018 selepas seorang jiran melaporkan dia tidur bersebelahan seekor anjing di tempat letak kereta tertutup di rumah berkenaan.
Kesan-kesan lebam ditemukan pada wajahnya dan pembantu rumah itu meninggal dunia akibat kecederaannya pada hari berikutnya.
Bercakap dengan Malaysiakini pada Julai lalu, bekas peguam cara III Mohamad Hanafiah Zakaria berkata tiada bukti yang mencukupi untuk memastikan sabitan membunuh.
Menurutnya, bukti yang dikumpul tidak mencukupi untuk mensabitkan kesalahan yang lebih ringan iaitu menyebabkan kematian secara kecuaian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai