Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Langgar perlembagaan parti, Umno bahagian Arau digantung

Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi menggantung Umno Bahagian Arau selepas melanggar perlembagaan parti, kata Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.

Isham berkata MT Umno akan melantik ketua pentadbir bagi bahagian itu secepat mungkin.

“Kita akan lantik ketua pentadbir secepat mungkin. Senarai calon itu akan dibincangkan...keputusan Majlis Tertinggi adalah menggantung mereka atas sebab-sebab disiplin melanggar Perlembagaan Umno,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat MT Umno bagi bulan Januari yang dipengerusikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur malam tadi.

Isham Jalil

Ketua Umno Bahagian Arau sebelum ini, Shahidan Kassim dan isterinya yang juga Ketua Wanita Umno bahagian itu Shamsiah Yassin dilucutkan keahlian selepas melanggar perlembagaan parti.

Dalam pada itu, Isham berkata penggantungan keahlian bekas ahli MT Umno Tajuddin Abdul Rahman berkuat kuasa semalam selepas rayuannya ditolak.

“Ada rayuan daripada Datuk Tajuddin…hari itu dia digantung jadi rayuan dia telah ditolak. Penggantungan berkuat kuasa hari ini (semalam),” katanya.

Pada 2 Okt tahun lepas, media melaporkan Ketua Umno Bahagian Alor Setar Mohd Yusof Ismail mengesahkan dia serta bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin digantung keahlian parti selama enam tahun.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menerusi akaun Twitternya berkata perkara utama yang dibincangkan pada mesyuarat MT malam adalah berhubung perincian jadual Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada 11 hingga 14 Jan ini.

Dia berkata taklimat presiden akan diadakan pada 2.30 petang, 11 Jan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

-Bernama