Anwar perlu jelaskan lantikan Farhash ke jawatan besar korporat - MP
Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa untuk bersuara berhubung pelantikan jawatan-jawatan besar yang disandang oleh bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador, kata Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor.
Menurutnya, jawatan-jawatan besar yang disandang oleh Farhash sebaik sahaja Anwar memimpin negara sejak lebih sebulan lalu adalah perkara yang bertentangan dengan prinsip tatakelola yang baik dan janji-janji yang pernah dilaungkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini.
“Mana pergi janji-janji yang dilaungkan oleh PH untuk tatakelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara?
“Perlantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda ‘reformasi’ yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.
“Kami menyeru Anwar Ibrahim untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan-jawatan baru Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik,” kata ahli parlimen PAS itu dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dalam satu kenyataannya mengumumkan Robin Tan Yeong Ching telah meletak jawatan sebagai pengerusinya, “untuk meneruskan minat lain" dan digantikan oleh Farhash.
Tan, anak kepada pemegang saham utama 7-Eleven, taikun Vincent Tan Chee Yioun dengan 41.8 peratus kepentingan, dilantik ke lembaga pengarah kumpulan itu sebagai pengerusi, pengarah bukan eksekutif bukan bebas pada 25 Nov 2021.
Menyifatkan bahawa pelantikan Farhash itu satu perkara yang jijik dan dipandang serong, Khlir mempersoalkan sama ada Anwar yang juga merupakan menteri kewangan akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa akan terdapat lagi pelantikan jawatan besar yang melibatkan individu yang rapat dengannya selepas ini.
“Majlis Pimpinan Tertinggi PH, yang selama ini telah mencanangkan nilai-nilai ini untuk bertahun-tahun semasa menjadi pembangkang, juga wajib menjelaskan pendirian mereka atas jawatan-jawatan Farhash ini,” katanya.
Untuk rekod, Farhash pernah dan sedang menjadi pengarah dan/ atau pemegang saham dalam sekurang-kurangnya sepuluh syarikat swasta termasuk Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.
Dia kini menganggotai lembaga penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan yang mengumpulkan, menubuhkan dan membangunkan syarikat mampan dengan ciri keusahawanan yang kukuh.
Dia juga pengerusi eksekutif kumpulan Apex Equity Holdings Bhd dan pengarah Berjaya Construction Bhd.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai